Siakap Keli
kisah tragis vina
Gambar: Tribun Jartim &Instagram/deecompany_official

Ramai Yang Tak Tahu, Ini Kisah Tragis Di Sebalik Filem Vina: Sebelum Tujuh Hari

Ramai Yang Tak Tahu, Ini Kisah Tragis Di Sebalik Filem Vina: Sebelum Tujuh Hari

Filem Vina: Sebelum Tujuh Hari arahan Anggy Umbara merupakan salah satu filem yang berjaya pecah panggung di Indonesia selepas ia mendapat sambutan daripada masyarkat di negara itu.

Tetapi, tahukah anda filem tersebut adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku ke atas seorang wanita bernama Vina Cirebon pada beberapa tahun lalu hingga ia menggegarkan penduduk di negara jiran?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari ikuti kronologi kisah Vina yang disediakan di bawah ini.

Kisah Vina Cirebon

Gambar: Instagram/deecompany_official

Kejadian tersebut difahamkan berlaku pada tahun 2016 di Indonesia dan segalanya bermula selepas Vina menolak cinta seorang lelaki sekali gus menjadikan suspek berdendam kerana cinta tidak dibalas.

Untuk makluman, Vina yang berumur 16 tahun ketika itu pernah menjalinkan hubungan cinta dengan suspek yang juga dikenali sebagai mat motor.

Tetapi disebabkan masalah, hubungan itu terlerai dan membuatkan lelaki itu kecewa.

Bagaimanapun, siapa yang sangka dendam tersebut berakhir dengan satu tragedi berdarah apabila lelaki itu bertindak untuk melakukan sesuatu di luar kawalannya.

Tragedi menyayat hati itu telah meragut nyawa Vina, apabila dia dan teman lelaki barunya telah dipukul oleh sekumpulan mat motor dipercayai suspek.

Vina dan kekasihnya telah dipukul sehingga mereka meninggal dunia di Jalan Perjuangan berhadapan SMP 11 Kali Tanjung Cirebon, pada 27 Ogos 2016.

Gambar: TribunJatim

Diceritakan kembali, pada hari kejadian Vina bersama kekasih barunya telah keluar makan angin di bandar Cirebon bersama sekumpulan motor (geng kekasihnya).

Walau bagaimanapun, ketika melalui Jalan Perjuangan, pasangan tersebut yang menunggang bersama-sama telah bertemu dengan geng motor bekas kekasihnya.

BACA: Jepun Bina Satelit Kayu Pertama Di Dunia, Dilancarkan September Ini

Susulan itu, pasangan tersebut cuba melarikan diri namun motosikal yang dinaiki mangsa terbabas selepas dibaling dengan batu dan ditendang oleh rakan-rakan bekas kekasihnya.

Mereka yang terjatuh dari kenderaan dua roda itu kemudiannya dipukul sehingga mengalami kecederaan parah.

Tidak hanya itu, mangsa juga telah dirogol oleh 11 orang mat motor secara bergilir-gilir.

Mayat mereka telah dicampakkan ke bawah jejantas seolah-olah menampakkan mereka terlibat dalam kemalangan.

Suspek bertindak untuk melakukan perkara itu selepas mengetahui Vina bercadang untuk berkahwin dengan kekasihnya, membuatkan kekecewaannya mengatasi pelbagai emosi yang dirasai.

Apabila disiasat, suspek dan teman lelaki baru Vina merupakan kawan rapat.

Siasatan pihak polis

Menurut laporan awal polis, mangsa dan kekasihnya terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat terlanggar tiang elektrik di kaki lima jejantas.

Bagaimanapun, berdasarkan kecederaan parah pada badan mangsa, pihak polis kemudian menjalankan siasatan semula sebelum mengesahkan punca kematian pasangan itu adalah dibunuh.

Susulan itu, lapan pelaku telah dipanggil dengan tujuh daripadanya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Manakala seorang lagi dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun kerana dikategorikan sebagai bawah umur dan kini telah dibebaskan.

Pelaku kesembilan dilaporkan telah ditahan di Bandung dengan baki dua pelaku masih bebas.

Bagaimana filem ini diinspirasikan?

Difahamkan, kes itu tular selepas individu mendakwa roh Vina telah merasuki tubuh rakannya dan memberitahu kronologi pembunuhan itu.

Kejadian itu sempat dirakamkan sebelum tular di media sosial.

Meskipun rakaman tersebut tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti, namun ia dipercayai menjadi petunjuk kepada siasatan.

Sumber: iNews.id

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"