Siakap Keli
jepun satelit kayu
Gambar: AFP

Jepun Bina Satelit Kayu Pertama Di Dunia, Dilancarkan September Ini

Jepun Bina Satelit Kayu Pertama Di Dunia, Dilancarkan September Ini

KYOTO (Jepun), 29 Mei (Bernama) — Penyelidik Jepun pada Selasa berkata mereka telah berjaya membina satelit kayu pertama di dunia, dengan objek berbentuk kiub kecil itu dijangka dihantar ke angkasa lepas menggunakan roket SpaceX yang dilancarkan dari Amerika Syarikat, kemungkinan pada September, lapor Agensi Berita Kyodo.

“LignoSat,” gabungan perkataan ligno, awalan yang bermaksud kayu dan satelit, adalah hasil usaha pembangunan selama kira-kira empat tahun oleh sebuah pasukan yang melibatkan Universiti Kyoto dan Sumitomo Forestry Co., bertujuan memanfaatkan kelebihan kayu yang mesra alam sekitar dan kos yang rendah dalam pembangunan angkasa lepas.

Satelit kayu dilihat sebagai lebih baik untuk alam sekitar apabila terbakar semasa memasuki semula atmosfera Bumi pada akhir operasinya, berbanding satelit konvensional yang dibuat daripada logam, kerana ia boleh mencipta zarah alumina, yang boleh memberi kesan negatif terhadap cuaca dan komunikasi, menurut pasukan itu.

Perkembangan terkini ini adalah “langkah yang amat berharga untuk kedua-dua industri angkasa lepas dan kayu,” kata Universiti Kyoto dan syarikat produk kayu yang berpusat di Tokyo dalam siaran akhbar bersama mereka, menunjukkan bahawa ini akan membantu “membuka kemungkinan penggunaan kayu, yang merupakan sumber lestari.”

BACA: Rekod Keputusan Terbaik SPM 2023, Kenali Maahad Tahfiz Negeri Pahang

LignoSat adalah kiub berukuran 10 sentimeter yang dibuat daripada panel kayu magnolia setebal 4 hingga 5.5 milimeter, dengan rangka sebahagiannya dibina daripada aluminium. Ia mempunyai panel solar yang dilekatkan pada beberapa sisi dan berat kira-kira satu kilogram.

Ia dibina berdasarkan teknik tradisional Jepun yang tidak menggunakan sebarang skru atau bahan pelekat.

Pasukan tersebut menyatakan bahawa mereka telah mengesahkan ketahanan bahan kayu itu walaupun dalam persekitaran yang keras di angkasa lepas.

“Kami ingin mencipta satelit, termasuk bahagian substrat elektronik (yang terkandung di dalamnya), sepenuhnya diperbuat daripada kayu pada masa hadapan,” kata Takao Doi, seorang angkasawan yang berkhidmat sebagai profesor khusus program di Universiti Kyoto.

Satelit itu akan diserahkan kepada Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun pada 4 Jun. Ia akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

Ia akan dilepaskan ke angkasa lepas kira-kira sebulan selepas tiba di makmal orbit, menurut siaran akhbar. Pasukan itu merancang untuk meneroka potensi kayu dengan menganalisis data yang dihantar dari satelit baharu itu, kata mereka.

Sumber: BERNAMA

BACA: Ini Kaedah Yang Lebih Cepat Nak “Check” Keputusan SPM 2023

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"