Kemalangan Babit 3 Kereta: Seorang Wanita Maut, 7 Cedera
Seorang wanita maut, manakala tujuh lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas di Kampung Belimbing pada Sabtu.
Kemalangan ini melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza, Honda City dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV yang berlaku pada jam 8.50 malam.
Mangsa yang meninggal dunia, Siti Husnina Manaff, 26, adalah penumpang di bahagian belakang kereta Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika pemandu kereta Perodua Bezza, lelaki berusia 29 tahun, berhenti di tengah jalan untuk memasuki simpang di sebelah kanan.
Menurut Mohd Haki, pada masa yang sama, Honda CRV yang dipandu oleh lelaki berusia 26 tahun, yang datang dari arah yang sama secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang kereta Perodua Bezza.
Akibatnya, Perodua Bezza tersebut masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar pula dengan Honda City yang dipandu oleh lelaki berusia 24 tahun dari arah Pasir Mas.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa dan dan anak saudaranya tercampak keluar dari kereta dan jatuh di atas jalan raya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala semua mangsa lain berusia antara 22 hingga 53 tahun dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga menggesa orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Mohd Sulaiman, di talian 09-9556222.
BACA: Kejadian Berbalas Tembak R&R Tanjung Malim: Dua Lelaki Ditembak Mati Polis
Sumber: Sinar Harian