Siakap Keli
11 juta berat badan berlebihan
Gambar Hiasan

Capai Tahap Membimbangkan, 11 Juta Rakyat Malaysia Berat Badan Berlebihan

Capai Tahap Membimbangkan, 11 Juta Rakyat Malaysia Berat Badan Berlebihan

Masalah kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila satu daripada dua individu dewasa atau kira-kira 11 juta orang kini mengalami berat badan berlebihan dan obes.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan. Ini merupakan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada tahun 2019.

Malaysia kini dianggarkan mempunyai 22 juta rakyat dewasa yang berusia 18 tahun ke atas. Laporan NHMS 2023 juga mencatatkan peningkatan 10 peratus dalam kes berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa antara tahun 2011 hingga 2023.

Sumber: The World Factbook dan myhealth.gov.my

Pada tahun 2011, 44.5 peratus golongan dewasa mengalami berat badan berlebihan berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 25. Jumlah ini meningkat kepada 47.7 peratus pada 2015, 50.1 peratus pada 2019 dan 54.4 peratus pada 2023.

Cara untuk menentukan BMI individu dewasa adalah dengan membahagikan berat badan (kg) dengan ketinggian (m²).

“Masyarakat Malaysia semakin gemuk. Laporan NHMS 2023 menunjukkan prevalen obesiti dan berat badan berlebihan terus meningkat daripada 50.1 peratus (2019) kepada 54.4 peratus (2023).

“Obes dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan sakit jantung.

“Bertindak sekarang, obesiti bukan suatu kebiasaan. Makan secara sihat, bergerak secara aktif, jauhi rokok dan alkohol,” kata KKM menerusi hantaran di aplikasi X.

Baru-baru ini, Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai bilangan rakyat yang tinggi dengan masalah obesiti mengikut data The World Factbook oleh Central Intelligence Agency dari tahun 2016 hingga 2024.

BACA: Malaysia Negara Kedua Paling Tinggi Obes Di Asia Tenggara

Masalah berat badan berlebihan telah lama menjadi topik perbincangan di Malaysia.

Pada April lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa supaya lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, menyatakan bahawa kajian menunjukkan tabiat makan lewat malam memberi kesan negatif seperti peningkatan berat badan, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Menurut beliau, pihaknya sudah sekian lama menyeru larangan operasi kedai makan 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.

Tambah beliau, penyelidikan menunjukkan bahawa individu yang makan lewat malam melebihi 40 peratus daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan ini tidak menjamin pengguna tidak akan mencari alternatif lain.

Beliau menekankan bahawa keseluruhan sumber makanan yang mudah didapati di Malaysia seperti mi segera dan makanan berkelah juga perlu diambil kira.

BACA: Malaysia Diiktiraf Negara Paling Disayangi Di Asia

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.