BSNSecure Tak Lagi Dapat Digunakan, Perlu Dikemas Kini Ke myBSN Mobile
Bank Simpanan Nasional (BSN) Malaysia memaklumkan bahawa aplikasi BSNSecure tidak lagi dapat digunakan bermula 7 Jun 2024.
Menerusi satu notis di laman Facebook rasminya, BSN meminta pelanggannya mengemas kini aplikasi BSNSecure ke aplikasi myBSN Mobile melalui AppStore,Play Store dan Huawei App Gallery. Pelanggan boleh mengaktifkan fungsi BSNSecure melalui aplikasi myBSN Mobile.
Pelanggan BSN juga perlu memuat turun aplikasi ini untuk sebarang transaksi dalam talian berikutan pengesahan transaksi perbankan internet myBSN hanya boleh dilakukan melalui aplikasi myBSN Mobile sahaja.
“Pastikan peranti anda memenuhi keperluan sistem operasi minimum untuk pengemaskinian: Apple iOS (versi 15.0 atau lebih tinggi) dan Android atau Huawei (versi 11.0 atau lebih tinggi,” kata BSN.
BACA: Baru Terima Keputusan SPM, Johan Ghazali Bakal Lawan Nguyen Tran Sabtu Ini
Langkah ini sememangnya ditunggu-tunggu para pelanggan yang mengharap pihak BSN menyediakan aplikasi di peranti bagi memudahkan urusan perbankan internet.
Terdahulu, BSN telah melancarkan BSNSecure pada 1 Julai 2023 apabila OTP/TAC SMS ditamatkan pada tarikh yang sama bagi menangani isu penipuan.
Dalam pada itu, CIMB sebelum ini juga telah mengumumkan pertukaran CIMB Clicks ke CIMB OCTO bermula 11 Jun nanti.
CIMB berkata aplikasi CIMB OCTO akan hadir dengan wajah baharu yang lebih menarik dan direka untuk memudahkan urusan perbankan harian pengguna.
“Dengan aplikasi CIMB OCTO, pengguna akan menguruskan kewangan dengan cepat dan selamat, memberikan pengalaman perbankan yang bijak dan diperibadikan,” katanya.
Tambahnya lagi, pengguna disarankan untuk memuat turun aplikasi itu di Apple App Store, Google Play Store dan Galeri Aplikasi Huawei.
Sumber: BSN Malaysia