Sindiket ‘Kontena Terbang’ Tumpas, Nilai Ketirisan Cecah RM3.5 Bilion
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) — Sebanyak 19 buah lori kontena disyaki membawa barangan lari cukai pelbagai jenis ditahan sekali gus menumpaskan sindiket penyeludupan barangan import terbesar di Pelabuhan Klang membabitkan ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion sejak 10 tahun lepas.
Operasi khas yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor adalah hasil gabungan pasukan risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sumber SPRM berkata siasatan awal mendapati lebih 10 syarikat forwarding digunakan bagi menyeludup barangan import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu dan didalangi oleh seorang lelaki warga asing yang beroperasi sejak 10 tahun lepas di luar negara.
“Sindiket ini dianggarkan menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan. Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion berdasarkan cukai minima RM7,000 bagi setiap kontena.
“Hasil risikan dijalankan lebih dari tiga bulan mendapati modus operandi mereka menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama individu yang tidak tahu menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan,” katanya.
BACA: Suspek Sempat Ceroboh Rumah Di Karak & Tidur Selepas Curi Honda City
Menurut sumber, ia bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan ahli sindiket terlepas daripada sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.
“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang Kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti kerusi roda dan barangan perubatan,” katanya.
Sumber berkata hasil risikan mendapati ‘kontena terbang’ ini akan memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit sahaja sedangkan kontena-kontena berkenaan tidak melalui proses pemeriksaan kastam sebelum keluar dari pelabuhan dan diedarkan ke seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan dua individu ditahan reman selama empat hari menerusi permohonan SPRM bermula hari ini sehingga 8 Jun ini.
“Identiti semua pihak termasuk dalang utama yang dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, ejen forwarding serta pegawai Kastam yang bersekongkol sudah dikenal pasti akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya menambah siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan Akta di bawah LHDN.
Azam berkata pihaknya turut memohon bantuan agensi negara luar bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai akaun-akaun milik dalang utama ini agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil.
Terdahulu, media melaporkan SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan lari cukai di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.
Sumber: BERNAMA