Kelazatan Cita Rasa Dalam Keanggunan Busana – Koleksi Bayu Somerset x Secret Recipe
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2024 – Pada Hari Raya Aidiladha tahun ini, penggemar fesyen dan kek lazat pasti teruja dengan gandingan yang menambat hati dan selera sekali gus, apabila rangkaian kafe gaya hidup tempatan yang terulung di Malaysia, Secret Recipe, bergabung tenaga dengan jenama pakaian tempatan yang terkenal, Bayu Somerset. Hasil kerjasama yang dilancarkan pada hari ini, mengetengahkan keanggunan koleksi busana Melayu tradisional yang diilhamkan daripada kelazatan cita rasa pilihan kek Secret Recipe.
Kerjasama eksklusif ini meraikan kemanisan hidup yang bukan sahaja boleh dinikmati daripada kek lazat tetapi juga seni fesyen. Koleksi Bayu Somerset x Secret Recipe memaparkan pilihan pakaian dan aksesori yang menarik. Setiap pakaian mencerminkan kek ikonik Secret Recipe dan benar-benar sesuai dengan penampilan comel lagi terang menawan yang memang menjadi gaya Bayu Somerset.
“Di Secret Recipe, kami percaya bahawa semestinya ada keindahan dalam tradisi, yang menjadi inspirasi perjalanan kami di Malaysia selama ini. Kini, kami ingin menghidupkan lagi tradisi. Kerjasama kami dengan Bayu Somerset membawakan keharmonian gabungan keanggunan dan cita rasa, menampilkan kecantikan pakaian Melayu tradisional yang digandingkan dengan koleksi kek kami.
Bersama-sama, kami mencipta sentuhan seni budaya dan pengalaman seni kulinari yang menambah kemewahan dalam setiap detik,” kata Evelyn Lee, Ketua Pemasaran Secret Recipe.

Kerjasama ini menggabungkan kelainan estetika Bayu Somerset dengan kemanisan kek, menghasilkan koleksi yang sungguh menarik. Koleksi ini meliputi lima kategori, daripada pakaian tradisional kepada aksesori kepala — setiap satu memaparkan rekaan yang memperlihatkan lapisan kek Secret Recipe dengan sentuhan keceriaan dan keseronokan, menjadikan setiap helai pakaian bukan sekadar biasa-biasa sahaja, tetapi lebih menyerlah.
Baju Kurung Kedah yang ringkas tetapi tidak ditelan dek zaman ini boleh didapati dalam tiga corak, termasuk Pandanlicious yang lebih mendekati alam semula jadi dan bersahaja; Berrylicious yang anggun; dan White Forest yang ringkas menawan.
Sementara itu Baju Kurung Kebaya yang merupakan busana klasik dengan sentuhan moden, menghidupkan rekaan Confetti dengan Sulaman Nadi; warna Black Forest yang lebih mempesona dengan cetakan halus buah ceri; dan akhir sekali Green Pea Kebaya yang dilengkapi corak terang lagi menyerlah.
Mereka yang suka Kurung Moden yang lebih kontemporari boleh menggayakan set Tallulah dalam reka bentuk Wild Blueberry cantik meletup atau Red Velvet yang lebih menawan hati. Semua pakaian boleh didapati dalam saiz daripada XXS kepada 5XL untuk dewasa pada harga daripada RM149 dan ke atas; dan saiz 1 hingga 12 untuk kanak-kanak pada harga antara RM129 dan RM149.
Koleksi Baju Kurung digandingkan sempurna dengan koleksi Aksesori Kepala, pada harga RM49 sehelai, yang memperlihatkan corak Red Velvet atau Confetti, atau pilihan Scrunchie yang boleh didapati dalam corak yang sedondon pada harga RM15, untuk penampilan lengkap dari kepala hingga kaki.

Menerusi koleksi ini, Bayu Somerset memaparkan suasana sambutan perayaan dengan menerapkan unsur-unsur seperti kek, lilin dan bunga menarik dalam setiap corak. Adunan motif perayaan dan reka bentuk di luar kelaziman menggambarkan bagaimana fesyen boleh melambangkan kemanisan nikmat dan keindahan hidup, membawakan suasana sambutan setiap kali pakaian digayakan.
Diana Kamalul, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kreatif Bayu Somerset, berkongsi keseronokannya sambil berkata, “Kami berbesar hati dan mengalu-alukan peluang untuk berganding bahu dengan jenama yang kami membesar bersama menerusi koleksi bermusim Bayu Somerset x Secret Recipe.
Secret Recipe menempa nama setelah menempuh pelbagai cabaran selama beberapa dekad ini dan kami gembira atas kesungguhan mereka menyokong jenama tempatan. Dalam tempoh beberapa bulan lepas, langkah menzahirkan koleksi ini daripada lakaran kertas kepada kain dan pelancaran pada hari ini merupakan mercu jaya yang tidak akan dilupakan bagi kami di Bayu Somerset. Kami menghargai sokongan Secret Recipe sepanjang proses ini.”
Untuk meraikan kerjasama ini, Secret Recipe akan menawarkan kepada pelanggan Bayu Somerset diskaun 30% bagi sepotong kek dengan pembelian mana-mana dua hidangan utama à la carte. Pelanggan hanya perlu menunjukkan tag produk Bayu Somerset x Secret Recipe.
Sementara itu, Bayu Somerset akan menawarkan kepada pelanggan Secret Recipe potongan RM10 bagi setiap pembelian produk Bayu Somerset yang boleh didapati di dalam talian dan luar talian. Selain daripada itu, kerjasama ini juga menghasilkan kotak Kek Platinum edisi terhad yang direka khas oleh Bayu Somerset.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.secretrecipe.com.my atau www.bayusomerset.com.