Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Majlis Pelancaran Team MAS Bersempena Temasya Sukan Olimpik Paris 2024

Nurul Naqiyah
temasya sukan olimpik paris 2024
Sumber : BERNAMA

Majlis Pelancaran Team MAS Bersempena Temasya Sukan Olimpik Paris 2024

1. Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh melancarkan Kempen Team MAS di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. Team MAS merupakan jenama kebangsaan yang diketengahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mewujudkan gerakan nasional bagi menyokong atlet negara di semua temasya sukan termasuk Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada bulan Julai.

2. Kempen ini diharapkan menjadi tanda sokongan dan penyuntik semangat kepada atlet yang telah layak, agar mereka lebih berkeyakinan untuk berjuang di Paris dan membawa pulang pingat emas pertama untuk negara.

3. Dengan membawakan tema “KITA SEMUA TEAM MAS”, Kerajaan Madani melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengutamakan penyatuan semua rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara sebagai sebuah pasukan yang sentiasa menyokong atlet yang akan berjuang di pentas tertinggi sukan dunia.

4. Menjelang 50 hari ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai 2024 sehingga 11 Ogos 2024, seramai 18 atlet telah berjaya melayakkan diri. Seramai 15 atlet pula telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik yang akan berlangsung pada 28 Ogos 2024 sehingga 8 September 2024.

5. KBS menerusi Program Road To Gold (RTG) yang merupakan top-up program Podium sedia ada telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada atlet yang layak. Ini termasuklah kemudahan fasiliti, perkhidmatan sains sukan, perubatan, program bina diri, pendedahan kepada latihan dan kejohanan dalam dan luar negara.

6. Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), fungsi dan tanggungjawab sebagai peneraju dalam sains, perubatan dan teknologi sukan, Institut Sukan Negara (ISN) sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence – COE) telah membangunkan produk melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk Sukan Olimpik Paris 2024. Produk-produk tersebut ialah basikal trek WX-R Vorteq dan custom made grip untuk peralatan sukan memanah.

i. Basikal Trek WX-R Vorteq

Basikal trek WX-R Vorteq versi Sukan Olimpik Paris 2024 telah diperkasakan melalui proses R&D khusus untuk mencari marginal gains yang akan meningkatkan peluang Malaysia untuk mendapatkan pingat.

ii. Custom Made Grip bagi peralatan sukan memanah Custom made grip juga adalah inovasi yang dihasilkan oleh ISN untuk memberi keselesaan kepada atlet.

7. KBS turut menyeru semua rakyat Malaysia dan pemegang taruh untuk sama-sama menjayakan kempen ini sebagai tanda sokongan dan penyuntik semangat kepada semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.

8. Semasa ucapan YB Menteri Belia dan Sukan, beliau mendoakan supaya kontinjen negara selamat dan mengelakkan sebarang bentuk kecederaan sebelum bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024. Beliau juga menyatakan bahawa KBS akan terus memberikan sokongan penuh melalui program RTG dan Podium untuk menyokong atlet-atlet negara mencapai impian mereka dan juga hasrat negara serta rakyat.

Beliau yakin atlet negara akan memberikan yang terbaik semasa Sukan Olimpik Paris 2024 dan semua lapisan rakyat sentiasa menyokong atlet negara selari dengan tema TEAM MAS – Kita semua TEAM MAS.

9. Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria, menyifatkan kira detik 50 hari menjelang temasya Sukan Olimpik Paris XXXIII 2024 sebagai isyarat siap siaga bagi atlet negara yang mengesahkan kelayakan.

10. Beliau berkata, “MOM mengharapkan agar 18 atlet yang sudah layak kekal fokus pada persiapan terakhir menjelang acara masing-masing. MOM juga mendoakan agar anggota kontinjen Malaysia akan bertambah dan lebih ramai atlet dapat melayakkan diri pada awal Julai apabila siri kelayakan beberapa sukan selesai manakala slot universality dan kuota penyertaan disahkan oleh persekutuan sukan antarabangsa masing-masing.”

11. Selain itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), YBhg. Dato’ Sri Megat D.Shahriman Zaharudin berkata kempen Team MAS merupakan inisiatif yang memberikan semangat jati diri dan inklusif untuk menceriakan atlet para yang telah menghadapi cabaran walaupun kurang upaya dan bangkit memainkan peranan mereka untuk mengharumkan nama negara.

Inisiatif seperti ini sudah lama tertangguh dan kini ia menyatukan negara bermula dari pemimpin, komuniti sukan para dan yang paling penting rakyat negara ini.

12. “MPM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan khususnya kepada KBS atas inisiatif ini. Kami akan memainkan peranan kami untuk membawa ‘Pergerakan Paralimpik’ di negara ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

13. Sementera itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub berharap pelancaran kempen Team MAS ini akan mewujudkan kesedaran kepada rakyat mengenai atlet atlet yang bertanding di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 sekaligus tampil memberikan sokongan yang padu kepada wira negara untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada atlet untuk memberikan yang terbaik.

14. “Kami menyeru lebih banyak pihak untuk menyertai kami dan meraikan penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik dan berharap Team MAS diterima pakai oleh bukan sahaja atlet tetapi semua rakyat Malaysia sebagai tanda sokongan mereka terhadap sukan di Malaysia.”