Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penghulu Maut, Tertimbus Di Bawah Timbunan Tar
Penghulu Mukim Teja dilapor maut dalam keadaan tertimbus muatan batu tar selepas motosikal yang ditunggang mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kampar, Perak.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar kira-kira jam 7.30 malam.
Mangsa dikenali sebagai Hanapiah Ismail yang berusia 59 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.
Lapor portal berita itu lagi, nahas itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang daripada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Jasamu Dikenang Pejabat Daerah dan Tanah Kampar.
Majlis berkenaan dilapor berlangsung di sebuah hotel di Ipoh.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Kampar ketika kejadian.
Pemandu treler selamat dan tiada sebarang kecederaan
Manakala treler yang membawa muatan tar dan dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun turut berada di lorong yang sama dengan kedudukan 10 meter di hadapan.
“Tiba di lokasi kejadian, berlaku kerosakan pada penyambung treler menyebabkan kenderaan berat itu terangkat dan hilang kawalan.
“Keadaan itu mengakibatkan muatan yang dibawa tumpah di atas jalan dan menimbus mangsa,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Mayat mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar.
Kata Mohamad Nazri, mayat mangsa seterusnya telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
Sementara pemandu treler pula dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari timbunan tar oleh anggota bomba
Jelasnya lagi, keadaan motosikal mangsa juga mengalami kerosakan teruk dengan bahagian hadapan kenderaan itu pecah keseluruhan.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar Mohamad Nazri.
BACA: Hilang Sejak 18 Mei, Jurutera Ditemukan Meninggal Dunia Dalam Kereta
Sumber: Sinar Harian