Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Palestin Cipta Sejarah, Mara Ke Pusingan Ketiga Kali Pertama
Di sebalik pergolakan yang berlaku di tanah air sendiri, skuad bola sepak kebangsaan Palestin tetap berjaya menampilkan persembahan mengagumkan di sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Fokus yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Makram Daboub dalam menghadapi perlawanan-perlawanan penting membuahkan hasil apabila mereka berjaya mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat kali pertama.
Malah, mereka juga sudah berjaya mengesahkan penyertaan mereka, buat kali keempat berturut-turut, ke Piala Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi pada 2027 nanti.
Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan ketika menentang Lubnan semalam sudah memadai untuk mereka mencipta sejara gemilang berkenaan.
Walaupun berdepan dengan cabaran getir lawan, Palestin hanya memerlukan satu mata sahaja untuk memastikan tempat mereka di pusingan seterusnya terjamin.
Palestin lakar sejarah, buat kali pertama mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia/Asia
Dengan dua kemenangan, dua kali seri dan sekali tewas, Palestin mengumpul sebanyak 8 mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan I.
Manakala carta kumpulan berkenaan diterajui oleh Australia dengan 15 mata selepas mencatatkan kemenangan dalam semua lima perlawanannya.
Berbaki satu perlawanan yang tinggal, apa pun keputusan yang dicatatkan Lubnan selepas ini tidak akan mampu mengganggu gugat lagi kedudukan Palestin.
Malaysia masih ada peluang, namun getir
Dalam pada itu, Malaysia menghidupkan peluang untuk mara lebih jauh dalam kempen kelayakan yang sama selepas merekodkan keputusan seri dengan Kyrgyzstan semalam.
Satu mata berharga yang dibawa pulang dari tempat lawan itu memastikan harapan Malaysia untuk mengakhiri pusingan kedua kempen kelayakan ini masih ada.
Bagaimanapun, Malaysia perlu mencatatkan kemenangan besar ketika menentang Chinese-Taipei sambil mengharapkan lawana mereka semalam tewas di tangan Oman.
Berbaki satu perlawanan, Malaysia ketika ini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata. Manakala posisi kedua diisi oleh Kyrgyzstan yang mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan.
Manakala Oman, sudah pun mengesahkan kemaraan dengan 12 mata yang mereka miliki.
BACA: Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027: Malaysia Terikat 1-1 Dengan Kyrgyzstan
Sumber: Keputusan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Stadium Astro