Dua Pejalan Kaki Dirempuh Kereta, Dipercayai Tiba-Tiba Melintas Jalan
Dalam satu kejadian yang berlaku pada Isnin di Jalan Leila, menghala ke pekan Tanah Merah, Sandakan, dua pejalan kaki iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak telah dirempuh oleh sebuah kereta selepas melintas jalan secara tiba-tiba.
Insiden tersebut menjadi tular di media sosial melalui sebuah video berdurasi satu minit yang dipercayai rakaman dari kamera papan pemuka kenderaan terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritenden K Ramasamy, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan melibatkan kemalangan sebuah kereta yang telah terlanggar dua pejalan kaki.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada jam 8.59 pagi Isnin semasa pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza yang datang dari arah bandar Sandakan menuju rumahnya di Kampung Gas.
“Semasa melalui Jalan Leila telah terlanggar seorang wanita dan seorang budak lelaki yang berlari melintas jalan secara tiba-tiba.
“Pemandu tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat dan akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa telah terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, pemandu kereta terbabit turun dari kenderaannya dan membantu membawa mangsa ke Hospital Sandakan untuk mendapatkan rawatan.
“Kedua-dua mangsa telah menerima rawatan dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mereka tidak mengalami kecederaan yang serius dan hanya mengalami luka calar di bahagian anggota badan.
“Kedua-duanya dibenarkan pulang pada jam lebih kurang 3 petang,” katanya.
BACA: Kes Keracunan Makanan: KKM Dalam Proses Siasatan
BACA: Seorang Lagi Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci
BACA: Polis Minta Bantuan Kesan Pelajar 13 Tahun Hilang Dari Asrama
Sumber: Sinar Harian