Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Penggunaan Teknologi Nuklear Aman Untuk Pembangunan Negara Bakal Meningkat

Nurul Naqiyah
teknologi nuklear aman

Penggunaan Teknologi Nuklear Aman Untuk Pembangunan Negara Bakal Meningkat

ALOR SETAR, 13 Jun 2024 – Kerajaan menyasarkan peningkatan penggunaan teknologi nuklear aman sebanyak 40 peratus dengan nilai pelaburan industri RM2.4 bilion menjelang tahun 2030. Ini selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030) yang telah dirasmikan oleh YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Chang Lih Kang pada 20 September 2023 yang lalu membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosioekonomi, sekali gus meletakkan negara setanding dengan negara maju.

Bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun 2030, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah telah mengadakan Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS 2024) Siri 2 pada 13 hingga 14 Jun 2024 bertempat di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah.

Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin. Turut sama hadir dalam program ini adalah Yang Berhormat Tuan Haji Dzowahir bin Ab Ghani, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Wakil Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dan YBrs. Tuan Suhaidi bin Shukri, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah.

teknologi nuklear aman

TPS merupakan salah satu platform berterusan Nuklear Malaysia dalam rangka promosi pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman dan selamat kepada rakyat dan industri.

Dengan adanya program TPS ini diharapkan dapat meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi (technology adoption) nuklear dalam sektor-sektor yang berpotensi serta meningkatkan minat pelajar dalam pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Melalui program ini, hasil penyelidikan dan pembangunan daripada para penyelidik Nuklear Malaysia dapat diketengahkan merentasi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi nuklear dalam sektor agropertanian, teknologi pemprosesan sinaran, perindustrian, alam sekitar, perubatan, kesihatan dan keselamatan sinaran, kejuruteraan nuklear dan latihan.

Nuklear Malaysia dengan Kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah juga telah melancarkan Galeri Padi Nuklear di mana pengunjung Muzium Padi Kedah berpeluang mendapatkan maklumat dan peranan Agensi Nuklear Malaysia dalam penghasilan variasi benih padi baharu NMR 152.

teknologi nuklear aman

Turut diadakan sesi demonstrasi dan pembentangan produk hasil R&D, pameran produk R&D, perkhidmatan dan latihan yang ditawarkan olehi Nuklear Malaysia. Antara Syarikat yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah Syarikat Pertama Padi Sdn. Bhd. dan My Digital ID.

Justeru itu, kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan amat dialu alukan dalam memacu kemajuan teknologi nuklear di Malaysia bagi mengarusperdanakan penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman, mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuhkan kesejahteraan rakyat dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi nuklear bagi menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara.

Seramai hampir 1,500 orang daripada pelbagai latar belakang meliputi agensi kerajaan persekutuan dan negeri, wakil-wakil syarikat, pemain industri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan Negeri, Lembaga Kemajuan Pertanian (MADA), pesawah, penghulu dan ketua kampung, serta masyarakat setempat telah hadir dan memeriahkan program ini.