Siakap Keli
kerajaan lulus projek kigip
Gambar: Bernama

Kerajaan Setuju Lulus Peruntukan Projek Penyaluran Air Ke Empangan Bukit Merah – PM

Kerajaan Setuju Lulus Peruntukan Projek Penyaluran Air Ke Empangan Bukit Merah – PM

BAGAN SERAI, 15 Jun (Bernama) — Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk meluluskan peruntukan pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah. Ia bagi menyediakan bekalan air terawat ke utara Perak dan Pulau Pinang yang dianggarkan menelan kos RM4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu sebahagiannya akan dilaksanakan untuk menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), di Kerian.

“Kalau diurus bekalan air itu (di Perak) dengan baik, ia bukan sahaja mencukupi malah melebihi. Melalui projek pengurusan air dan beberapa program tempatan ia akan dapat memenuhi keperluan di KIGIP, keperluan pengairan di Kerian dan terus ke Seberang Perai.

“Ia memerlukan dana RM4 bilion, dan kerajaan pada dasarnya bersetuju. Walaupun bukan tahun ini tetapi kita akan jadikan ia sebagai keutamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Pelan Induk KIGIP di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

BACA: PM Akan Umum Berita Gembira Berkenaan Barangan Makanan Esok – Fahmi

Mengenai KIGIP, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan bagi cadangan susur keluar dari KIGIP ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan dipercepatkan bagi menyokong pembangunan KIGIP. Projek ini dianggarkan menelan kos RM60 juta.

Pembinaan susur keluar dari KIGIP ke lebuhraya PLUS beri manfaat kepada penduduk sekitar

Kerajaan negeri memohon pembinaan susur keluar baharu dari KIGIP ke lebuhraya PLUS, dilengkapi fasiliti seperti surau dan tandas. Ia bagi menyokong pembangunan serta melengkapkan ekosistem pengangkutan kawasan berkenaan.

Lokasi yang dicadangkan antaranya 3.6 kilometer dari Plaza Tol Alor Pongsu arah utara, yang akan menjadi gerbang masuk utama ke KIGIP. Pembinaan berkenaan memberi manfaat kepada penduduk sekitar seperti Bagan Serai, Kampung Sungai Bogak, Kampung Tali Air dan Pekan Simpang Lima.

BACA: Kebocoran Didakwa Kertas Siasatan Kes Zayn Rayyan, Polis Terima Dua Laporan

Kerajaan setuju lulus peruntukan, mencatat sejarah penting negara

Selain itu, Anwar berkata KIGIP di Kerian mencatat sejarah projek penting kepada negara. Ia meliputi teknologi canggih, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga.

Beliau berkata syarikat terlibat juga digalakkan mengutamakan tenaga kerja tempatan di persekitarannya termasuk Bagan Serai dan Kerian.

“KIGIP juga akan memberikan peluang Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak tempatan. Mereka (syarikat) boleh ambil ramai jurutera tempatan dan memberi pendapatan tinggi kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Fadillah dalam sidang media berkata sebuah jawatankuasa yang beliau ketuai telah ditubuh. Ia bagi memastikan semua infrastruktur untuk projek KIGIP diselesaikan secepat mungkin.

“Saya diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk melihat segala infrastruktur untuk projek ini (KIGIP) agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Ada empat asas infrastruktur yang kita kena lihat. Pertamanya tenaga, kedua air, ketiga dari segi jalan dan keempat dari segi komunikasi,” katanya.

Sumber: Bernama

BACA: Malaysia Negara Ke-2 Paling Aman Di Asia, Ke-10 Di Dunia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti