Siakap Keli
Road bike pertama Malaysia
Kredit: Aid Fawzal via X

‘Road Bike’ Pertama Malaysia Lakukan Ujikaji Aerodinamik Di UK

‘Road Bike’ Pertama Malaysia Lakukan Ujikaji Aerodinamik Di UK

Bozetta Bike, sebuah syarikat rintisan (startup) Malaysia yang berfokus pada pengeluaran basikal, khususnya basikal jalan raya (road bike) dipercayai melakukan ujian aerodinamik ke atas model pertama keluarannya, “Bozetta FZ8”, di Silverstone, United Kingdom (UK).

Ditubuhkan oleh anak watan Malaysia, syarikat ini bertujuan untuk mencipta basikal berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Mereka menggabungkan teknologi terkini dan bahan berkualiti seperti gentian karbon gred tinggi untuk menghasilkan basikal yang ringan, kuat dan berprestasi tinggi.

Uniknya, basikal ‘road bike’ Bozetta FZ8 ini diinspirasikan daripada basikal Velodrom Olimpik, WX-R.

Dalam pada itu, seorang pakar Dinamik Bendalir Pengiraan, Dr. Aid Fawzal, berkongsi pengalaman sebagai perantara teknikal (CFD Specialist) yang membantu memahami aerodinamik basikal ‘road bike’ pertama Malaysia itu.

Kredit: Aid Fawzal via X

“Pembinaan kerangkanya (body construction) menggunakan gentian karbon gred tinggi dengan komposit yang berbeza-beza pada setiap sudut kritikal, bertujuan memastikan keseimbangan antara kekakuan (stiffness) dan ketegaran (rigidity).

“Dengan itu, basikal FZ8 mampu memberikan komunikasi yang baik antara penunggang dengan basikal serta mengekalkan daya pada setiap kayuhan sampai terus ke jalan,” jelas beliau menerusi laman X peribadinya, @AidFawzal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain daripada rasa (feeling) dan maklum balas (feedback) antara penunggang dengan basikal, kemampuan basikal untuk membelah angin juga penting.

“Basikal dengan rintangan angin yang tinggi memerlukan lebih banyak tenaga pada setiap kayuhan, menyebabkan penunggang cepat letih. Oleh itu, kajian aerodinamik untuk ‘road bike’ sangat penting,” kata beliau.

Bozetta FZ8 mampu setanding dengan basikal ‘road bike’ lain dalam pasaran

Memahami kepentingan ini, syarikat Bozetta Bike Malaysia memilih untuk menghantar prototaip pertama mereka ke Silverstone Engineering Hub, UK dengan kerjasama Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) untuk menjalani ujian aerodinamik dalam terowong angin.

“Hasil ujian tersebut sangat memberangsangkan.

“Dengan yakin, saya boleh katakan bahawa data aerodinamik Bozetta FZ8 menunjukkan bahawa basikal yang baru sahaja dibangunkan dalam tempoh kurang dua tahun ini mampu setanding dengan basikal ‘road bike’ lain dalam pasaran dari segi potong-anginnya,” tambah Dr. Aid Fawzal.

BACA: Proton e.MAS, Logo & Nama Jenama EV Proton Didedah

Sumber: Aid Fawzal via X

Sharifah Hannah Adibah