Siakap Keli
Sumber: JPJ Malaysia

JPJ Umum Pemanggilan Semula Siri 2/2024 Beberapa Model Mercedes-Benz, Chery & Toyota

JPJ Umum Pemanggilan Semula Beberapa Model Mercedes-Benz, Chery & Toyota

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan pemanggilan semula (product recall) siri 2/2024 terhadap tiga syarikat pengeluar kenderaan membabitkan Mercedes-Benz, Chery dan Toyota hari ini.

Kredit: JPJ
Kredit: JPJ
Kredit: JPJ

Menurut JPJ, aktiviti pemanggilan semula ini telah dilaksanakan oleh pengeluar kenderaan tersebut sejak bulan Mac 2024 dan masih berlangsung hingga kini.

“Bagi mana-mana pemilik kenderaan yang terlibat dalam aktiviti pemanggilan semula ini, anda akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan anda untuk penetapan tarikh temu janji bagi pemeriksaan kenderaan.

“Sila patuhi tarikh temujanji yang telah ditetapkan untuk kemudahan kedua-dua belah pihak,” tulis kenyataan JPJ.

Menerusi kenyataan itu, pihak JPJ peka dengan isu yang tular baru-baru ini mengenai kegagalan gandar belakang bagi kenderaan Chery Omoda 5.

“Bagi kes ini, pihak Chery Auto Malaysia Sdn Bhd telah segera melaksanakan aktiviti pemanggilan semula yang bermula sejak 3 Mei 2024 dan telah memaklumkan kepada pihak JPJ berkenaan aktiviti tersebut.

“Sehingga 7 Jun 2024, pihak Chery telah memeriksa sebanyak 592 unit daripada 600 unit kenderaan Chery Omoda 5 yang terlibat dalam aktiviti ini dengan peratus selesai aktiviti sebanyak 98.67%.

“Baki pemilik kenderaan telah dihubungi bagi melengkapkan jadual pemeriksaan dan dijangka aktiviti ini akan diselesaikan pada akhir Jun 2024,” katanya.

Tambah JPJ, tempoh penyelesaian bagi aktiviti pemanggilan semula ini bergantung sepenuhnya kepada kerjasama yang diberikan oleh pemilik kenderaan.

“Sebagai pemilik kenderaan, sila pastikan data maklumat anda di pihak JPJ dan mana-mana pihak yang berkaitan adalah yang terkini bagi memudahkan anda dihubungi sekiranya kenderaan anda terlibat dalam mana-mana aktiviti pemanggilan semula,” katanya.

Pemanggilan Semula (Product Recall)

Untuk makluman pemanggilan semula atau Product Recall secara umumnya merupakan suatu aktiviti bagi memanggil semula sejumlah produk oleh pihak pengeluar.

Ia dilakukan apabila terdapat penemuan isu keselamatan atau kecacatan kepada produk tersebut yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna.

Kaedah pelaksanaan pemanggilan semula ini dilaksanakan melalui pemakluman kepada pemilik sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas, surat-menyurat rasmi, hebahan di media massa dan sebagainya.

BACA: JPJ Umum Pemanggilan Semula Beberapa Model Kia, Volkswagen dan Toyota

Sumber: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

Sharifah Hannah Adibah