Siakap Keli
lelaki hilang maut kereta dalam longkang
Sumber: Sinar Harian

Lelaki 40-an Hilang Ditemui Maut, Kereta Terjunam Dalam Longkang

Lelaki 40-an Hilang Ditemui Maut, Kereta Terjunam Dalam Longkang

Lelaki yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu ditemui maut dalam sebuah kereta yang berada dalam longkang di Lebuhraya Bukit Jalil menghala ke Kuala Lumpur pada Isnin.

Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an, dipercayai memandu kereta itu sebelum mengalami kemalangan di lokasi tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 3.01 petang.

“Bomba menerima panggilan berkaitan kes bantuan kepada pihak polis bagi urusan mengambil mayat di lokasi kejadian sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis BMW dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih daripada 60 jam sebelum ditemui.

Anggota bomba yang bertugas kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, menyatakan bahawa pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kejadian tersebut.

“Saya akan kongsikan kenyataan media berhubung kes ini dan mangsa adalah orang hilang yang dilaporkan di Balai Polis Sungai Way sebelum ini,” katanya.

BACA: Motosikal & Rangka Manusia Ditemui, Disyaki Milik Pelajar Hilang Sebulan Lalu

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah