Siakap Keli
rangka manusia milik pelajar hilang
Sumber: Sinar Harian

Motosikal & Rangka Manusia Ditemui, Disyaki Milik Pelajar Hilang Sebulan Lalu

Motosikal & Rangka Manusia Ditemui, Disyaki Milik Pelajar Hilang Sebulan Lalu

Penemuan rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, pada Isnin seolah-olah memberikan petunjuk baru dalam kes seorang remaja yang dilaporkan hilang sejak sebulan yang lalu.

Di lokasi penemuan tersebut, turut ditemui sebuah motosikal yang hampir sama dengan motosikal yang digunakan oleh Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berdasarkan nombor pendaftaran seperti dimaklumkan semasa kehilangannya.

Motosikal tersebut ditemui tersangkut di celah batang pokok berdekatan dengan kebun durian, bersama-sama dengan jaket dan topi keledar.

Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor segera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka tersebut.

Hafiz Fauzan, seorang pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Agama Parit Raja, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada malam 25 Mei lalu untuk menonton perlawanan bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Bapanya, Abd Halid Sugiman, 44, dilaporkan berusaha mencarinya dengan meninjau beberapa jalan yang mungkin dilalui oleh Hafiz sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, namun tidak berjaya menemui sebarang petunjuk.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pasukan forensik di lokasi penemuan rangka tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa pengesahan identiti rangka tersebut hanya akan dilakukan selepas menerima laporan dari pihak forensik.

BACA: Wanita Ditemui Maut Dijerut Kabel Mikrofon

BACA: Kebakaran Kilang Bateri Di Korea Selatan Ragut Nyawa Seorang Pekerja, 21 Terperangkap

BACA: Warga Emas Parah Tersepit Selepas Kereta Rempuh Bas

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah