Selangor FC Teliti & Kaji Semua Saluran Bersesuaian Sebelum Ambil Tindakan Lanjut
Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum dengan hukuman-hukuman yang dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL) ke atas kelab itu.
Ia berhubung kes ketidakhadiran kelab berkenaan ke Perlawanan Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super (LS1) pada 10 Mei lalu.
Menurut Selangor FC, pihaknya telah memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, pihak kelab dimaklumkan bahawa permohonan tersebut telah ditolak.
“Oleh itu, pihak kelab sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya,” ujar kenyataan Kelab.

Selangor FC terima 4 hukuman tidak hadir Piala Sumbangsih
Media hari ini melaporkan bahawa Selangor FC telah dikenakan empat hukuman oleh MFL susulan ketidakhadiran kelab tersebut ke Perlawanan Sumbangsih sebelum ini.
Menurut MFL, hukuman tersebut diputuskan secara sebulat suara oleh Ahli Lembaga Pengarah yang hadir dalam mesyuarat khas mengenai isu tersebut.
Dalam kenyataan media yang diterbitkan, Selangor FC didenda RM100,000 yang mana wang denda tersebut akan disalurkan kepada badan kebajikan yang akan ditentukan kemudian.
Selain itu, Selangor FC perlu membayar pampasan kepada JDT sebagai tuan rumah Perlawanan Sumbangsih dan juga kepada MFL.
“MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya,” kata kenyataan itu lagi.
Selangor FC turut dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dan perlawanan LS14 menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan diadakan tanpa penonton.
“Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil-wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan,” kata MFL lagi.
BACA: Selangor FC Umum Tidak Hadir Ke Perlawanan Piala Sumbangsih
BACA: Piala Sumbangsih: Selangor FC Didenda RM 100, 000 & Tiga Lagi Hukuman Lain
Sumber: Selangor FC