Koeman Anggap Kekalahan Belanda Memalukan, Permainan Serba Tak Kena
BERLIN — Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengakui kekalahan 3-2 kepada Austria dalam pada Euro 2024 awal pagi tadi adalah sesuatu yang memalukan terhadap pasukannya, lapor AFP.
Kekalahan Oranje itu menyaksikan skuad itu menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan D dengan empat mata.
Manakala pasukan yang dipimpin oleh bekas jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick melonjak ke takhta kumpulan sekaligus melayakkan Das Team ke pusingan 16 terakhir.

“Mengambil kira keputusan, perlawanan dengan Perancis (Sabtu lalu) berjalan dengan agak baik kerana kami bermain sebagai satu pasukan (tetapi) hari ini prestasinya amat ‘mengerikan’.
“Pemain bermain dengan sangat buruk dalam aspek tertentu.. kami perlu mengikuti lawan dan bukan itu yang berlaku,” ujar Koeman kepada pemberita.
Kata Koeman lagi, pasukannya banyak membuat kesilapan ketika menentang Austria, yang mendahului menerusi jaringan sendiri Donyell Malen sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan.
BACA: Arda Guler, Lamine Yamal, Ini Senarai “Star Boy” Yang Menyerlah Dalam Kejohanan Euro 2024
Romano Schmid kembali meletakkan Austria di depan dengan golnya namun dipadam oleh gol penyamaan Memphis Depay. Marcel Sabitzer muncul wira Das Team apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-80 perlawanan.

“Saya boleh senaraikan beberapa (kesilapan).
“Kami bermula dengan teruk dalam banyak aspek. Kami tidak bertahan dengan baik. Terdapat banyak peluang diberikan kepada pasukan lawan.
“Kami tidak agresif. Mudah kehilangan bola juga, terutamanya pada permulaan. Kami sangat teruk,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyifatkan anak-anak buahnya bermain dengan sangat teruk pada separuh masa pertama dengan bola banyak dikuasai Austria.
“Kami tidak mempunyai banyak penguasaan bola jadi ia sangat sukar, tiada rehat dalam permainan,” jelasnya.
Fokus Peringkat Kalah Mati

Meskipun menduduki tangga ketiga kumpulan, Belanda layak ke pusingan seterusnya sebagai salah satu pasukan daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.
Tambah Koeman, pasukannya perlu memperbaiki segala aspek untuk peluang seterusnya.
“Kami perlu mencari jawapan, kami perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya.
“Itu mungkin kalah mati terakhir, kami tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kami perlu bermain lebih baik daripada yang dilakukan hari ini (untuk mengelak perkara itu),” katanya lagi.
36 Tahun Kemarau Euro
Sepanjang penyertaan Euro, Belanda memenangi pertandingan itu buat kali pertama dan terakhir pada tahun 1988 di Jerman ketika itu.
Sumber: AFP via Barrons