Penyaman udara antara peralatan elektrik yang menjadi keperluan ramai, terutamanya ketika cuaca panas.
Namun, lain pula jadinya apabila sebuah penghawa dingin tiba-tiba memaparkan kod tertentu pada skrin digital yang jarang dilihat sehingga mengundang tandaa tanya pemiliknya.
Menurut satu perkongsian seorang pengguna Threads @nvrinaa_ yang menjadi viral, penghawa dingin miliknya memaparkan tulis 'EL'.
Walaupun situasi tersebut mungkin boleh mendatangkan kerisauan dalam hati, kalau-kalau perkakas elektrik berkenaan rosak, namun @nvrinaa_ sempat berseloroh dengan bertanya adakah penyaman udara berkenaan sedang memberi isyarat mahu cuti kecemasan atau emergency leave (EL).
“Salam nak tanya, kenapa aircond saya asyik keluar EL ye? Dia nak ambil emergency leave ke,” selorohnya.
“Dah Burnout Sangat Tu..”, Aircond Burnout Terpaksa Ambil EL

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang tidak melepaskan peluang untuk menyambung gurauan berkenaan.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah seorang pengguna yang membalas, “Dah burnt out sangat tu, terpaksa EL kak.”
Jawapan spontan itu seolah-olah menggambarkan penghawa dingin berkenaan sudah terlalu penat bekerja tanpa henti sehingga terpaksa mengambil cuti kecemasan.
Kod CL pula, Aircond Nak Masuk Pantang?

Belum selesai dengan kisah EL, satu lagi gambar penghawa dingin yang dikongsikan oleh pengguna lain turut mengundang perhatian apabila paparan digitalnya menunjukkan kod yang bertulis 'CL' ataupun maksud lain yang kita sering dengari iaitu confinement lady atau penjaga pantang.
“Ni apa pulak CL? Dia dalam pantang ke request confinement lady?”, katanya.
Gurauan itu menambahkan lagi warna kepada perkongsian berkenaan apabila kod pada penghawa dingin yang lazimnya mengundang kerisauan pemilik bertukar menjadi bahan jenaka netizen.
Walaupun pelbagai tafsiran diberikan, kod ralat pada penghawa dingin sebenarnya bergantung kepada jenama dan model peralatan berkenaan.
Kod EL 0C Boleh Dikaitkan Dengan Masalah Bahan Pendingin, Bergantung Pada Model
Seorang pengguna turut mengaitkan paparan kod berkenaan dengan kemungkinan kebocoran bahan pendingin atau refrigeran.
Penjelasan itu mempunyai asas bagi model tertentu. Sebagai contoh, panduan rasmi Midea menyenaraikan kod EL 0C sebagai amaran pengesanan kebocoran atau kekurangan bahan pendingin.
Bagaimanapun, paparan “EL” sahaja tidak mencukupi untuk menentukan jenis masalah. Maksud kod perlu disemak berdasarkan kod penuh, jenama dan model penghawa dingin.
Kod EL 0C juga tidak semestinya mengesahkan kebocoran atau kesilapan pemasangan. Juruteknik perlu menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum melakukan pembaikan atau menambah bahan pendingin mengikut keperluan.
Oleh itu, pengguna yang berdepan paparan tersebut disarankan merujuk manual atau menghubungi pusat servis, bukannya terus menganggap penghawa dingin hanya memerlukan tambahan gas.

