Siakap Keli
banjir kilat Sabah
Sumber: Astro Awani

Banjir Kilat Sabah: Beberapa Jalan Utama Tidak Boleh Dilalui

Banjir Kilat Sabah: Beberapa Jalan Utama Tidak Boleh Dilalui

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu kenyataan pada Isnin telah memaklumkan bahawa beberapa jalan utama kini tidak boleh dilalui oleh sebarang jenis kenderaan akibat banjir kilat.

Jalan-jalan yang terjejas termasuklah Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom, Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon di Penampang.

Selain banjir kilat, kejadian cerun runtuh juga dilaporkan di Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom berhampiran Kampung Timpoluon.

Walaupun kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan, tiada jalan alternatif yang boleh digunakan buat masa ini.

JKR turut memaklumkan bahawa banjir kilat telah menyebabkan beberapa jambatan di Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon ditenggelami air, yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Buat masa ini juga, tiada laluan alternatif disediakan untuk pengguna kedua-dua jalan tersebut.

BACA: Penampang, Sipitang Dilanda Banjir Kilat Akibat Hujan Lebat Berterusan

Dalam pada itu, banjir kilat juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di sekitar Sipitang, termasuk Jalan Kota Kinabalu-Sindumin, kawasan pekan Sipitang dan Pasar Awam Sipitang.

Hujan berterusan telah menyebabkan paras air laut naik, mengakibatkan ‘backflow discharge drainage’.

Walaupun jalan-jalan yang terlibat masih boleh dilalui kenderaan, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam satu kenyataan telah memaklumkan bahawa beberapa kampung turut terjejas akibat banjir kilat, termasuk Kampung Kolopis dan Kampung Sugud.

Beberapa jalan di sekitar Penampang juga ditutup akibat hujan lebat.

Justeru, orang awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan lain berikutan beberapa jalan di sekitar Penampang dinaiki air susulan hujan lebat.

Anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang telah ditugaskan di kawasan jalan yang dilanda banjir kilat untuk membantu pengguna jalan raya. Mereka bertugas melencongkan kenderaan supaya tidak melalui jalan yang dinaiki air akibat banjir dan tanah runtuh selain mengawal keselamatan lalu lintas.

BACA: Pemain Badminton China, Zhang Zhi Jie Meninggal Dunia

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah