Siakap Keli
awning lipat tadika jepun
Kredit: Facebook Amazing Japan

Lindung  Murid Ketika Cuaca Panas, Tadika Di Jepun Pasang “Awning” Boleh Tarik

Lindung  Murid Ketika Cuaca Panas, Tadika Di Jepun Pasang “Awning” Boleh Tarik

Sebuah tadika di bandar Munakata, Wilayah Fukuoka mendapat perhatian ramai apabila memasang retractable awning atau yang boleh ditarik sepanjang bangunan tadika berkenaan.

Video yang dikongsikan di laman Facebook Amazing Japan menunjukkan para guru bersama-sama menarik awning dari pintu bangunan hingga ke hujung padang.

Berdasarkan video tersebut, awning yang berwarna merah jambu itu bersaiz 25 meter lebar dan 30 meter panjang. Ia dilihat menutupi hampir keseluruhan kawasan padang tadika berkenaan.

Kanak-kanak kelihatan gembira bermain di bawah teduhan awning yang melindungi mereka dari panas cahaya matahari.

Menerusi laman sesawang Japan Health Info (JHI), waktu bagi kanak-kanak di sana melakukan aktiviti luar bilik darjah berbeza bagi setiap tahap.

Namun secara amnya, kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan keluar bermain dari jam 10 pagi hingga 11 pagi, diikuti jam 4 petang hingga 6 petang.

Bagi tadika pula, tiada waktu tertentu ditetapkan.

JHI merupakan organisasi usahawan sosial yang diwujudkan sejak 2010. Ia ditubuhkan bagi menambah baik kebajikan komuniti ibu bapa bukan warga tempatan. Organisasi ini juga bukan berasaskan keuntungan.

BACA: Tayar Kurang Tekanan Angin Juga Ada Potensi Untuk Meletup, Ini Sebabnya 

Fungsi pasang awning melindungi penghuni dari matahari dan hujan

Penggunaan awning mempunyai pelbagai fungsi antaranya melindungi penghuni dari matahari dan hujan.

Selain itu, awning lipat ini juga dilihat dapat menjimatkan tenaga dengan mengurangkan masa penghuni berada di dalam bangunan. Mereka dapat meluangkan masa di luar bangunan tanpa mengira keadaan cuaca.

Menurut laporan The Asahi Shimbun, cuaca terpanas di Jepun bagi tahun 2024 ialah setinggi 35.2 darjah celcius iaitu pada 12 Jun yang lalu.

Cuaca ini sudah dianggap panas dan boleh membuatkan kanak-kanak tidak selesa bermain di luar. Keadaan ini berikutan suhu kebiasaan di sana ialah antara 12 hingga 28 darjah celcius.

Walaupun begitu, pemilihan bahan dan reka bentuk awning mestilah bersesuaian dengan keperluan.

Melihat kepada keputusan pihak tadika Jepun tersebut, pemasangan awning lipat seperti yang digunakan di dalam video tersebut dilihat sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang selain mudah dikendalikan oleh guru. Hal ini berikutan sifat awning yang ringan dan kurang rintangan angin.

Sumber: Facebook Amazing Japan, The Asahi Shimbun, Japan Health Info

BACA: Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Di Semenanjung Hingga Disember Ini – PETRA

BACA: Dua Saintis Muda Wakili Malaysia Ke Mesyuarat Nobel Laureate Ke-73 Di Lindau, Jerman

Azizah Najib

Menulis tanpa henti