Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pengenalan e-Invois LHDN dalam usaha bagi meningkatkan tahap pengurusan cukai di negara ini, selari dengan pertumbuhan ekonomi digital.
Menurut portal BDO Malaysia, e-Invois merupakan bukti digital transaksi antara pembekal dan pembeli.
Ia sekaligus menghapuskan keperluan kepada penggunaan invois kertas dengan membolehkan perniagaan menjana dan menyimpan versi invois yang boleh dibaca mesin dan didigitalkan.
Malah, dengan adanya e-Invois juga akan memudahkan proses yang diperkemas untuk pengebilan dan pembayaran.
Pembayar cukai wajib menggunakan e-Invois pada tahun hadapan
Menurut portal BDO Malaysia lagi, e-Invois akan membolehkan pengesahan dan penyimpanan transaksi hampir masa nyata, memenuhi transaksi Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B), Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G).
Sistem berkenaan kemudian akan diperluaskan mulai 1 Januari 2025 kepada pembayar cukai dengan pendapatan tahunan atau hasil antara lebih RM25 juta hingga RM100 juta.
Akhir sekali, e-Invois akan diwajib bagi semua pembayar cukai di Malaysia bermula 1 Julai 2025 tanpa mengira perolehan tahunan atau hasil mereka.
Semua individu dan entiti yang sah di bawah perundangan dikehendaki mematuhi keperluan e-Invois, termasuklah:
- Persatuan
- Kumpulan orang
- Cawangan
- Amanah perniagaan
- Koperasi
- Syarikat
- Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
- Perkongsian
- Tabung amanah hartanah
- Amanah harta
- Amanah pelaburan hartanah
- Pejabat perwakilan dan pejabat wilayah
- Badan amanah dan Unit amanah
Dua model e-Invois berbeza tersedia bagi pembayar cukai
Di Malaysia, syarikat boleh memilih mana-mana kaedah penghantaran di bawah untuk melaporkan e-Invois iaitu:
- Portal MyInvois yang dihoskan oleh LHDN: Portal MyInvois boleh diakses oleh semua perniagaan. Walau bagaimanapun, portal ini hanya sesuai untuk jumlah data yang kecil dan boleh digunakan oleh Perusahaan Bersaiz Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME).
- Antara Muka Atur Cara Aplikasi (API): API dalam format XML atau JSON. Penggunaan API memerlukan pelaburan untuk teknologi dan pengubahsuaian pada sistem semasa. Walau bagaimanapun, kaedah ini sesuai untuk penjanaan e-invois bagi perniagaan besar yang melakukan transaksi dalam jumlah yang besar.
Panduan untuk e-Invois yang bakal dilaksanakan
Pengeluaran e-Invois menjadi sah apabila penjualan atau transaksi dibuat (termasuk pelarasan e-Invois), pembekal menjana e-Invois dan menyerahkannya kepada LHDNM melalui MyInvois Portal atau API untuk pengesahan.
Selain itu, pengesahan masa nyata oleh LHDNM dilakukan bagi memastikan piawaian dan kriteria yang diperlukan dipenuhi. Setelah disahkan, pembekal akan menerima Nombor Pengecam Unik melalui MyInvois Portal atau API.
Kedua-dua pembekal dan pembeli akan dimaklumkan melalui MyInvois Portal atau API sebaik sahaja e-Invois telah disahkan.
Selepas pengesahan, pembekal bertanggungjawab untuk berkongsi e-Invois kepada pembeli. Kod QR boleh digunakan untuk mengesahkan kewujudan dan status e-Invois melalui Portal MyInvois.
Bagaimanapun, pembeli/pembekal boleh menolak/membatalkan e-Invois dengan alasan dalam tempoh 72 jam dari masa pengesahan e-Invois.
Dalam pada itu, kedua-dua pembekal dan pembeli mempunyai pilihan untuk meminta dan mendapatkan semula data e-Invois melalui Portal MyInvois.
Maklumat lanjut mengenai e-Invois boleh dibaca di sini https://www.bdo.my/en-gb/home
BACA: Geely Berjaya Cipta Bateri EV Mampu Bertahan Sehingga 50 Tahun & 1 Juta Km
Sumber: BDO Malaysia