Pernah Jual Dari Balkoni Tingkat 3, Peniaga Martabak Singapore Bawa Kelainan
Penebar roti martabak kini semakin “pupus” ditelan arus khususnya buat generasi muda masa kini.
Tambahan lagi, persepsi (stereotype) masyarakat yang menganggap pekerjaan ini sebagai kelas rendah menjadikan ramai yang memilih untuk tidak menjerumuskan diri ke dalam bidang itu.
Namun, berlainan pula bagi Muhammad Danial Shukor yang juga merupakan pemilik kedai Murtabak Singapore Dari Rumah (MSDR), di mana dia sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang Oil and Gas untuk berniaga martabak dan menjadi seorang penebar martabak.
Mohammad Danial atau atau selesa dipanggil Danial, kini mampu berbangga dengan kerjayanya apabila pengalamannya menjadi seorang penebar roti martabak sejak berumur 13 tahun membuahkan hasil selepas dia berjaya membuka sebuah kedai martabak sendiri.
Latar belakang keluarga berniaga
Berkongsi kisahnya, Danial pada awalnya mula belajar menebar roti daripada ayahnya dan bapa saudaranya.
“Saya membesar daripada keluarga yang berniaga, disebabkan itu timbul satu minat pada saya. Kenapa tidak, saya belajar benda ini?” ujarnya.
Meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, namun ia tidak menjadi satu halangan buat bapa seorang anak ini terus bekerja sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menyara keluarga tercinta.
Bahkan dia juga sanggup mengorbankan kerjayanya sebagai freelance dalam sektor Oil and Gas demi meluangkan lebihan masa bersama keluarga tercinta.
Keunikan martabak Danial
Menariknya tentang MSDR, Danial berkata ia bermula dari rumah di sebuah tingkat tiga secara atas talian ketika PKP dan makanan ini adalah gabungan resipi martabak terkenal Singapura, Martabak Zam-Zam Singapura serta resipi martabak dari Johor Bahru.
Tambahnya, ketika itu duit hanya berbaki RM500 di dalam bank sebelum Danial mengambil keputusan untuk membuka perniagaan tersebut.
Cabaran
Bahkan, dia pernah duduk menebar martabak hanya beralaskan playwood dan zink di rumah kerana kekurangan modal awal perniagaan.
Bagaimanapun, bercerita mengenai pengalaman awal berniaga, dia mengakui sukar untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan.
“Cabaran paling besar ketika awal perniagaan adalah walaupun orang dah tahu tapi perniagaan tu tidaklah semewah yang orang sangkakan” katanya.
Katanya lagi, walaupun mendapat pelbagai kritikan mengenai resipi martabaknya yang dikatakan tidak sama seperti martabak di negara jiran, namun Danial menjadikan komen negatif itu sebagai satu batu loncatan buat dirinya dalam kerjayanya.
“Kita boleh buat sama macam dengan Singapura punya, tapi ia tidak asli daripada buatan kita sendiri. Kita mahukan satu (martabak) asli oleh kita, katanya.
Jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan makanan, Danial berjaya membuka kedai kecil untuk berniaga berhampiran flat di Kompleks PKNS dan kini bertapak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Pengalaman manis sepanjang berniaga
Bercerita mengenai momen manis, rezeki dalam berniaga dia pernah mendapat beg rekaan khas untuk murtabak daripada jenama Christy Ng.
Kejadian itu berlaku selepas video tularnya meletakkan murtabak di dalam beg milik isterinya untuk memberi murtabak kepada pelanggan dari balkoni tingkat tiga rumahnya.
BACA: Status Larian “Did Not Finish”, Syed Saddiq Beri Penjelasan
Bahkan pengacara dan selebriti Dato Haji Aznil Nawawi atau PakNil turut membeli semua martabaknya yang dijual dalam sehari untuk diinfakkan kepada orang ramai.
“Dia (PakNil) suruh beri infak depan rumah, setiap orang boleh ambil dua. Dan saya telefon PakNil, tanya dia ada ke waktu dia nak agihkan martabak nanti.
“PakNil tiada, PakNil sibuk.. rupanya itu adalah ‘prank’ sebab ketika kami tengah susun martabak tu dekat bawah, buat live PakNil dah sampai,” katanya.
Seorang “Family man”
Ditanya mengenai menyesal atau tidak meninggalkan dunia perindustrian Oil and Gas, Danial berkata dia tidak menyesal malah bersyukur dapat berniaga dan mempunyai masa meluangkan bersama keluarga sejak anak sulungnya lahir.
Lebih-lebih lagi isteri dan anaknya merupakan tulang belakang untuknya mencari nafkah.
“Walaupun ia tidak semewah kerja Oil and Gas, tapi saya ada banyak keistimewaan dalam berniaga. Saya ada masa bersama anak dan isteri, saya nampak mereka depan mata walaupun berniaga.
“Alhamdulillah cukup bawa anak dan isteri pergi jalan-jalan. Dapat belikan apa apa isteri saya nak. Bagi saya itu dah cukup memadai,” luah Danial.
Dalam pada itu, Danial menasihatkan kepada anak-anak muda yang ingin menceburi bidang ini adalah tidak berniaga seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’.
“Nasihat saya kepada anak muda buat betul-betul, jangan buat separuh jalan. Kuatkan mental dan fizikal.
“Kalau anda nak berniaga dengan media sosial, apa-apa kecaman orang tolak ke tepi.
“Teruskan ke depan, anggaplah komen-komen orang yang memburukkan perniagaan sebagai batu loncatan ke atas,” katanya.
Untuk sesiapa yang ingin merasai sendiri keunikan roti canai MSDR Danial boleh datang ke 39, Jalan E 1, Taman Melawati, Kuala Lumpur atau di Instagram dan TikTok MSDR.
Tonton video penuh “Ini Kisah Aku” Danial di bawah.