Fasih Bertutur Dalam Bahasa Thailand, Bront Palarae Buat Peminat Kagum
Pelakon terkenal tanah air, Bront Palarae membuatkan peminat di negara Thailand kagum selepas lancar bertutur dalam bahasa Thailand sewaktu pelancaran filem The Curse Land baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di platform X @Thai PBS pada Sabtu.
Dalam klip tersebut, pelakon berusia 46 tahun itu mencuri tumpuan ramai apabila tidak gugup bercakap dalam bahasa ibunda negara Gajah Perang itu, malah tampak berkeyakinan.

Menurut Thai PBS, pelakon berdarah kacukan itu memberitahu beliau menguasai Bahasa Thailand secara sendiri menerusi kaedah mendengar lagu dan menonton filem Thailand.
Sementara itu, aktor itu turut memuat naik satu hantaran mengucapkan terima kasih kepada portal berkenaan di akaun rasmi miliknya.
Thank you, krub @ThaiPBS 🙏 https://t.co/4hYGYoqY7I
— Bront Palarae (@Bront_Palarae) July 13, 2024
BACA: Terumbu Karang Haiwan Atau Tumbuhan? Ini Fakta Yang Ramai Tak Tahu
The Curse Land

Untuk makluman, filem The Curse Land arahan Panu Aree bakal ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 1 Ogos ini dan filem tersebut mempamerkan barisan pelakon seperti Ananda Everingham, Bront Palarae dan Jennis Oprasert.
Sinopsis
The Curse Land mengisahkan Mit dan anak perempuannya yang masih remaja, May berpindah ke sebuah rumah di kawasan kejiranan pinggir bandar selepas kematian isterinya.
Semasa menggali ke dalam tanah untuk membina kuil, Mit tanpa disedari (sengaja) melepaskan jin yang mengamuk dipenjarakan 200 tahun sebelum penubuhan Bangkok.
Mit dan May pergi ke Narathiwat, sebuah wilayah yang sedang bergolak di selatan Thailand untuk mendapatkan bantuan daripada seorang muslim selepas seorang sami Buddha gagal menangani masalah itu.
Tanpa mereka sedar, eksorsisme (pengusiran roh) terakhir itu akan membuka banyak rahsia gelap tentang tanah itu.
Sedikit maklumat tentang Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, beliau merupakan anak jati Alor Setar, Kedah dan lahir pada 27 September 1978.
Beliau memulakan karier lakonan pada tahun 2001 hingga kini dan telah membintangi pelbagai filem dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa seperti Jepun, Filipina, Indonesia dan Thailand.
Sumber: X @thaipbs, X @Bront Palarae GSC