Helikopter Terhempas Di Bali, Gara-gara Tersangkut Dengan Tali Layang-layang
Sebuah helikopter dilapor terhempas selepas tersangkut dengan tali layang-layang, dalam insiden yang berlaku di Kuta Selatan di Badung, Bali pada Jumaat.
Menurut Jakarta Post, ketika kejadian helikopter berkenaan membawa lima individu terdiri daripada dua rakyat Australia dan tiga warga tempatan.
Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat, I Nyoman Sidakarya berkata, helikopter berkenaan berlepas dari Garuda Wisnu Kencana (GWK) untuk melakukan tinjauan kawasan di sekitar Bali pada pukul kira-kira 2.33 petang.
Helikopter terhempas gara-gara tersangkut dengan tali layang-layang
Bagaimanapun, helikopter berkenaan dilaporkan terhempas kira-kira lima minit kemudian di kawasan Kampung Pecatu.
Insiden itu menyebabkan seorang juruterbang, kru dan seorang penumpang warga Indonesia dan dua penumpang warga Australia mengalami kecederaan.
Kelima-lima mereka kemudian telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
“Kesemua lima individu yang menaiki helikopter itu selamat, namun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk diberi rawatan,” kata Nyoman.
Dalam pada itu, jurucakap kepada Direktorat Umum Kementerian Pengangkutan Udara Indonesia, Mokhammad Khusnu berkata kemalangan itu berlaku selepas helikopter berkenaan tersangkut dengan tali layang-layang.
Pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan melakukan kempen intensif mengenai bahaya layang-layang kepada pengangkutan udara.
Malah, pemantauan melalui pelarasan oleh badan pentadbiran di Bali terhadap aktiviti tersebut turut akan dilakukan.
BACA: Pendudukan Israel Di Kawasan Rakyat Palestin “Tidak Sah” – ICJ
Sumber: Jakarta Post