Selain Duit, Ini Enam Ganjaran ‘Unik’ Pemenang Pingat Olimpik Pernah Terima
Memenangi pingat emas di Sukan Olimpik pastinya menjadi impian tertinggi bagi atlet profesional. Kejayaan berkenaan sebenarnya bakal menjadi detik paling membanggakan dan lambang kesempurnaan karier masing-masing.
Selain legasi dan kemasyhuran sebagai seorang pemenang, insentif kewangan turut ditawarkan oleh negara masing-masing pada para atlet yang berjaya membawa pulang pingat, lebih-lebih lagi emas.
Ganjaran unik diterima pemenang pingat Olimpik di seluruh dunia
Namun begitu, siapa sangka ada juga ganjaran yang tidak dijangka turut pernah diterima atlet-atlet ini.
Portal South China Morning Post baru-baru ini telah menyenaraikan lima ganjaran unik yang pernah diterima pemenang pingat Olimpik di serata dunia
Atlet India menerima pas penerbangan dan pas keretapi percuma seumur hidup
Selepas India berjaya membawa pulang tujuh pingat dari Sukan Olimpik 2020, tiga syarikat penerbangan negara itu terus mengumumkan tiket penerbangan percuma untuk semua pemenang.
Syarikat penerbangan tambang rendah IndiGo misalnya menawarkan penerbangan percuma selama setahun kepada Neeraj Chopra, pemenang emas tunggal India untuk Olimpik edisi tersebut.
Manakala syarikat Go First pula menawarkan tiket penerbangan percuma sehingga 2025 untuk semua pemenang pingat, namun syarikat berkenaan muflis sebelum tawaran berkenaan luput.
Satu lagi syarikat penerbangan, Star Air pula menawarkan penerbangan percuma seumur hidup untuk semua pemenang pingat Olimpik untuk India.
Dalam pada itu, pemenang emas Olimpik Beijing, Abhinav Bindra menerima pas kereta api seumur hidup selepas beliau mengakui tidak gemar dengan pengangkutan udara.
Atlet Jepun mendapat enam tan metrik beras
Di Jepun, pemenang pingat perak pingpong berpasukan Olimpik 2020, Kasumi Ishikawa menerima hadiah 100 kampit beras putih seberat 60kg setiap kampit daripada Persatuan Kerjasama Agrikultur Kebangsaan Jepun.
Sebagai perbandingan, purata pengambilan beras seorang penduduk Jepun per tahun adalah 50kg. Jadi, hadiah beras yang diterima oleh Ishikawa cukup untuk menampung bekalannya selama 100 tahun.
Malah, dia juga boleh menikmati makanan percuma di semua restoran yang bernaung di bawah persatuan tersebut sehingga 2022.
Difahamkan, Ishikawa menerima hadiah berkenaan kerana dia aktif berkempen memperkenalkan produk ternakan dan agrikultur Jepun.
Atlet Hong Kong terima perabot, menaiki penerbangan dan pengangkutan awam secara percuma
Cheung Ka-long dan Siobhan Haughey yang meraih pingat emas dan perak pertama negara itu di Olimpik Tokyo mendapat ganjaran yang lumayan dari negara.
Selain menerima wang tunai sebanyak HK$5 juta, mereka turut menerima pedang khas yang diletakkan di kediaman masing-masing.
Manakala syarikat penerbangan, Cathay Pacific menawarkan penerbangan kelas perniagaan tanpa had selama setahun.
Di samping itu, semua atlet dalam kontijen Hong Kong juga menerima pas perjalanan keretapi transit massa secara percuma selama setahun.
Atlet Filipina mendapat sebuah rumah dan bekalan bahan api percuma
Atlet angkat berat, Hidilyn Diaz juga menikmati ganjaran unik selepas menjadi pemenang emas Olimpik pertama Filipina.
Hidilyn antaranya menerima wang tunai sebanyak PHP 40 juta daripAda kerajaan dan beberapa penderma individu.
Selain itu, dia juga mendapat hadiah sebuah rumah dua tingkat daripada Jawatankuasa Olimpik Filipina, sebuah unit kondominium dan sebuah lagi rumah daripada pemaju tempatan.
Manakala syarikat minyak Phoenix Petroleum, yang menjadi penaja latihan Hidilyn turut menyedikan bekalan minyak minyak percuma seumur hidup untuk atlet tersebut.
Atlet Korea Selatan diberi pengecualian perkhidmatan tentera
Menurut SCMP lagi, undang-undang Korea Selatan mewajibkan semua lelaki yang berkemampuan untuk menyertai perkhidmatan tentera selama 18 bulan, sebelum mereka mencapai umur 28 tahun.
Biasanya, segelintir penduduk negara tersebut berjaya mendapat penangguhan, namun jarang sekali mereka dikecualikan terus daripada perkhidmatan tentera oleh kerajaan.
Namun begitu, atlet Korea Selatan yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan Asia dan mana-mana pingat di Sukan Olimpik akan mendapat pengecualian daripada perkhidmatan tentera.
Antara atlet berprofil tinggi yang mendapat pengecualian termasuk pemain bola sepak, Lee Kang-in dan Son Heung-min yang memenangi emas Sukan Asia.
BACA: Brazil Lapor Kematian Pertama Di Dunia Akibat Demam Oropouche
Sumber: South China Morning Post