Siakap Keli
budak 600 kod programming
Gambar: SCMP

Hebat, Budak 11 Tahun Hasilkan 600 Baris Kod “Programming” Untuk Cipta Roket

Hebat, Budak 11 Tahun Hasilkan 600 Baris Kod “Programming” Untuk Cipta Roket

Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di China berjaya ‘menulis’ sendiri 600 baris kod pengaturcaraan untuk mencipta roket, lapor South China Morning Post.

Yan Hongsen yang belajar sendiri ilmu pengaturcaraan, fizik dan kimia itu kemudian menjadi sensasi selepas kejayaannya tular di media sosial tempatan negara tembok besar berkenaan.

Kanak-kanak itu sebelum ini mengdokumentasikan perjalanannya untuk menghasilkan roket menerusi aplikasi Douyin dan berjaya mengumpul lebih 400,000 orang pengikut.

Dia yang kini digelar sebagai Rocket Boy merupakan seorang pelajar tahun lima yang berasal dari wilayah Zhejiang, di timur China.

Menurut bapanya, minat Yan terhadap dunia roket dan astronomi bermula selepas dia membawa kanak-kanak itu melawat dan menyaksikan pelancaran Long March-2 ketika berusia empat tahun.

Budak 11 tahun hasilkan 600 kod programming bina roket

Yan kemudian mula mengikuti pengajian kelas pengaturcaraan sejak berada di tadika lagi. Manakala dia mempelajari ilmu fizik dan kimia melalui bahan bacaan seperti buku dan juga video.

Sebagai sokongan terhadap minat Yan, bapanya turut mengubah suai sebuah bilik di rumah mereka menjadi makmal untuk Yan membina roket.

Seterusnya pada Ogos 2022, Yan meluangkan masa selama 10 bulan melakukan penyelidikan dan membangunkan roket bahan api pepejal pertamanya, yang dinamakan sebagai Sen Xing.

Pada Jun tahun lepas, dia melaksanakan fasa percubaan dengan melancarkan roket tersebut. Bagaimanapun sebaik roket berkenaan berlepas, penggalaknya gagal mengaktifkan payung terjun selepas fasa perpisahan.

Komponen selebihnya kemudian turut mengalami kerosakan yang kemudian membawa kepada terhempasnya roket tersebut.

Tidak mahu mengalah, Yan mengumpul semua serpihan roket itu untuk tujuan analisis dan penambahbaikkan roket seterusnya.

Buat analisis untuk bina roket kedua

“Nitroselulosa tidak meletup seperti yang dijangka, manakala spring dan bateri litium juga rosak. Mungkin ada isu dengan penyambungan badan roket,” kata Yan dalam analisisnya.

Kini, Yan sedang bertungkus lumus membangunkan roket keduanya dan berharap roket berkenaan dapat dilancarkan di masa akan datang.

Dalam video terbaharu yang dimuatkan di Douying, Yan turut berkongsi 600 baris kod pengaturcaraan sistem kawalan penerbangan yang ditulisnya untuk membina roket tersebut.

Bapa Yan turut memberitahu anaknya mempunyai impian untuk menyertai salah satu daripada 7 buah universiti pertahanan awam terkemuka di China suatu hari ini.

Malah, Yan juga mahu meneruskan projek membina roket dan membantu negaranya meneroka angkasa lepas dengan lebih jauh lagi.

BACA: Atlet Itali Mohon Maaf Pada Isteri, Cincin Kahwin Hilang Masa Acara Pembukaan Olimpik

Sumber: SCMP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.