Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Pelancaran Program Anak Emas Temui Pengunjung Dengan Pelbagai Aktiviti Dan Hadiah Istimewa

Nurul Naqiyah
program anak emas
YBhg.Datuk Norliza Abdul Rahim,(tiga dari kanan) Pengerusi PTPTN, YB Puan Lim Siew Khim, (empat dari kanan) Exco Pembangunan Sosial , Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang dan Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, (tiga dari kiri), Ketua Eksekutif PTPTN bergambar selepas sesi sidang media Majlis Pelancaran Program Anak Emas bertempat di Komtar, Pulau Pinang

Pelancaran Program Anak Emas Temui Pengunjung Dengan Pelbagai Aktiviti Dan Hadiah Istimewa

1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Majlis Pelancaran Program Anak Emas yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 3 Ogos 2024 bertempat di MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Program Anak Emas pada Jun 2011 iaitu bayaran bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur 2 tahun ke bawah, dengan syarat salah seorang ibu atau bapa kepada bayi mestilah berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang.

3. Menariknya, pada tahun ini, Program Anak Emas ditambahbaik melalui kerjasama yang julung kalinya diadakan bersama PTPTN. Insentif ini merupakan tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada masyarakat Pulau Pinang dalam memperkasakan pendidikan tinggi anak-anak Pulau Pinang. Melalui kerjasama ini, berkuatkuasa pada 15 Januari 2024, RM100 akan diberikan untuk pembukaan akaun/penambahan deposit Simpan SSPN Prime dan RM100 disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak.

4. Simpan SSPN Prime merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

5. Majlis Pelancaran Program Anak Emas akan disempurnakan oleh YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang. Turut hadir YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Pengurusan PTPTN, rakan strategik, ibu bapa, guru-guru bersama murid sekolah dan kanak-kanak tadika serta orang ramai.

program anak emas
YBhg.Datuk Norliza Abdul Rahim,(tiga dari kanan) Pengerusi PTPTN, YB Puan Lim Siew Khim, (empat dari kanan) Exco Pembangunan Sosial , Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang dan Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, (tiga dari kiri), Ketua Eksekutif PTPTN bergambar selepas sesi sidang media Majlis Pelancaran Program Anak Emas bertempat di Komtar, Pulau Pinang

6. Program yang akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga pukul 6.00 petang ini akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk para pengunjung yang hadir. Antara aktiviti yang akan dianjurkan ialah Pertandingan Mewarna Simpan SSPN Kategori Tadika dan Sekolah Rendah, Pertandingan Bayi Merangkak Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam, Penampilan Badut, Persembahan Boria, Persembahan Kanak-kanak Tadika dan Persembahan Silap Mata yang pastinya akan cukup meriah.

7. Selain itu, program turut mendapat kerjasama daripada agensi awam dan swasta yang akan membuka kaunter perkhidmatan dan pameran untuk pengunjung yang hadir antaranya Kaunter Promosi Simpan SSPN, Kaunter Saringan Kesihatan Percuma, Kaunter Semakan Akaun dan Khidmat Nasihat KWSP, Mini Petting Zoo, Pameran Robotik dan AI oleh Tech Dome Penang, Pameran Pergigian & Pameran Interaktif dan minuman Sunquick percuma untuk 2,000 orang yang terawal.

8. Orang ramai dijemput untuk hadir bersama keluarga ke Majlis Pelancaran Program Anak Emas bagi memeriahkan lagi program ini. Ibu bapa yang layak memohon Program Anak Emas boleh membuat pendaftaran di kaunter promosi PTPTN. Rebutlah peluang ini untuk hadir dan dapatkan maklumat lanjut mengenai program selain dapat menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. Orang ramai yang membuka akaun atau membuat penambahan deposit Simpan SSPN pada program tersebut turut berpeluang mendapat hadiah istimewa daripada PTPTN.

9. Untuk maklumat dan keterangan lanjut mengenai program serta aktiviti yang akan berlangsung boleh layari media sosial facebook Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang melalui pautan https://www.facebook.com/PTPTNPulauPinang atau hubungi Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang di talian 04-383 1410.