39 Maut, Ratusan Dikhuatiri Terperangkap Tanah Runtuh Di India
NEW DELHI, 30 Julai (Bernama-dpa/Xinhua) — Sekurang-kurangnya 39 orang maut, termasuk seorang kanak-kanak manakala ratusan lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kerala, India, menurut media tempatan pada Selasa.
Tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat telah menimbus beberapa buah kampung selain penduduk di daerah Wayanad, Kerala terputus hubungan pada awal Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan akhbar The Hindu.
Lapor Xinhua memetik kenyataan polis, tanah runtuh melanda kawasan Meppadi ketika orang ramai masih tidur dan usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata sekurang-kurangnya 70 penduduk yang cedera telah dibawa ke hospital.
Beliau bimbang bilangan kematian akan meningkat tetapi tumpuan diberikan kepada operasi menyelamat yang terganggu oleh hujan.
Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi menzahirkan rasa sedih berhubung kejadian tanah runtuh berkenaan.
“Ingatan saya bersama semua yang telah kehilangan orang tersayang dan doa saya bersama mereka yang cedera,” tulisnya di platform media sosial X.
BACA: Kenapa Pemanah Korea Selatan Terlalu Handal? Ini Jawapannya
BACA: Motif Penculikan Albertine Loe Didedah Selepas Siasatan Lengkap
Sumber: Bernama