Siakap Keli
skuasy sukan olimpik
Gambar: BERNAMA

Ini Sebab Sukan Skuasy Tak Dipertandingkan Dalam Olimpik 

Ini Sebab Sukan Skuasy Tak Dipertandingkan Dalam Olimpik 

Ketika ini sedang berlangsungnya temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula pada 26 Julai lalu hingga 11 Ogos ini, yang mana Perancis dipilih sebagai tuan rumah pada edisi kali ini.

Seperti yang diketahui, setiap edisi temasya ini memperagakan pelbagai sukan yang menarik ditonton kepada pen0nton di seluruh dunia.

Bola sepak, sukan renang, badminton antara sukan paling mendapat perhatian dan sambutan setiap kali temasya ini berlangsung.

Tapi pernah tak anda terfikir mengapa sukan seperti Skuasy tidak pernah mendapat tempat di pentas sebesar ini?

Pelik bukan, lebih-lebih sukan ini juga telah melahirkan ramai atlet berbakat seperti Dato Nicol Ann David, yang pernah memegang gelaran pemain nombor 1 dunia suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, anda perlu memahami terlebih dahulu prosedur pemilihan sukan-sukan di Olimpik. mari ikuti perkongsian menarik ini di bawah.

Bagaimana Proses Pemilihan Sukan Olimpik Dilakukan?

Gambar: AFP

Setiap kali Olimpik, badan yang berkuasa dalam pemilihan sukan adalah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). IOC merupakan jawatankuasa yang bertanggungjawab mengiktiraf sukan ini.

Jika salah satu sukan itu telah diiktiraf, ia kemudiannya dibawa ke peringkat Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF) untuk memohon kemasukan dengan mengemukan petisyen kepada IOC.

Bermula dari sini, IOC akan menilai setiap sukan sama ada melepasi kriteria yang ditetapkan untuk dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik ataupun tidak.

BACA JUGA: Kenapa Pemanah Korea Selatan Terlalu Handal? Ini Jawapannya

Disebabkan itu, jenis sukan yang dipertandingkan dalam setiap edisi Olimpik adalah berbeza.

Setiap sukan yang telah diluluskan menyertai Olimpik, menghendaki atletnya untuk menjalani ujian Doping selaras dengan peraturan peraturan Olimpik.

Untuk mempertimbangkan sesuatu sukan itu layak dalam Olimpik, sukan itu mestilah dimainkan secara meluas oleh lelaki di sekurang-kurangnya 75 negara dan di empat benua dan oleh wanita tidak kurang daripada 40 negara dan di tiga benua.

Bahkan ia perlulah meningkatkan ‘‘nilai dan daya tarikan’’ Sukan Olimpik dan mengekalkan serta mencerminkan tradisi modennya.

Bagi sukan yang telah menjadi sebahagian daripada Olimpik sebelum ini, ia perlu disemak secara berkala untuk menentukan sama ada ia releven untuk dikekalkan.

Namun, terdapat juga sukan yang diiktiraf namun tidak dipertandingkan dalam Olimpik seperti Boling dan catur.

Sukan Skuasy Di Mata Dunia

Gambar: AFP

Seperti yang diperlihatkan ketika temasya sukan olimpik, banyak sukan yang menggunakan alat berasaskan raket dipertandingkan dalam kejohanan ini tetapi mengapa tidak Skuasy?

Meskipun, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) diiktiraf oleh IOC, namun sukan ini masih belum berjaya menembusi pentas Olimpik walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh WSF sejak dahulu lagi.

Ia termasuk bidaan sukan ini dibawa dalam Sukan Olimpik Paris 2024 namun tetap menemui jalan buntu, termasuk Olimpik London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020 sebelum ini.

Gambar: World Squash Federation

Menurut Presiden IOC Thomas Bach, pemilihan sukan dalam kejohanan itu mestilah seimbang jantina, penglibatan golongan muda dan lebih maju.

Walaupun Skuasy telah berjaya membuktikan sebagai sukan yang seimbang jantina, tetapi ia boleh dikatakan masih tidak seiring dengan sukan lain yang dipilih dari segi penglibatan akar umbi atau sistem teknologinya.

Disebabkan itu, sukan ini kekal sebagai Sukan Komanwel, merupakan peringkat tertinggi penyertaan sukan Skuasy.

BACA JUGA: Paris 2024: Kanada Didenda FIFA, Intai Pasukan Lawan Guna Dron 

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Skuasy Dunia dan Persatuan Skuasy Profesional berkata mereka optimis bahawa sukan itu selari dengan taraf Olimpik.

“Kami benar-benar percaya skuasy boleh disepadukan dengan lancar ke dalam temasya Olimpik dengan kos minimum dan kumpulan peserta yang optimum.

“Gelanggang kaca interaktif unik kami akan membolehkan skuasy membawa banyak keterujaan dan aksi yang menakjubkan kepada tuan rumah. Ia juga akan memberi sinar baharu di kawasan bandar yang kurang dikenali sambil menarik minat golongan muda dalam sukan itu dari hari ke hari.” maklum kenyataan itu.

Salah satu faktor sukan ini turut dipandang sebelah mata adalah kurangnya pendedahan di televisyen.

Adakah Sukan Skuasy Bakal Dipertandingkan Dalam Olimpik Kelak?

Menurut laman web rasmi Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), Skuasy bakal dipertandingkan buat pertama kali dalam sejarah di pentas Olimpik Los Angeles 2028.

Ia selepas IOC memberi kelulusan terhadap sukan itu selepas dicadangkan oleh WSF pada tahun lalu.

Sumber: Britannica, BBC Sport, PSA World Tour, The Star UK,WSF

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.