Hadiah Pingat Buat Malaysia, Zii Jia Tidak Dapat Tahan Sebak Luah Tekanan Yang Dirasai
Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, berjaya menebus kekecewaan setelah gagal mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris dengan menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia.
Pemain berusia 26 tahun ini meraih pingat tersebut selepas menewaskan Lakshya Sen dari India dalam aksi di Porte de La Chapelle.
Zii Jia berjaya mengatasi Lakshya Sen dalam perlawanan tiga set dengan keputusan 13-21, 21-16 dan 21-11.
Kemenangan ini turut merapatkan jurang pertemuan antara Zii Jia dan Sen, menjadikannya 2-4.
Sebelum ini, Zii Jia yang menjadi harapan emas negara, tewas kepada juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dengan keputusan 14-21, 15-21 dalam aksi separuh akhir.
BACA: Yiwen Umum Bersara Selepas 10 Tahun Wakili Negara
Dengan pencapaian hari ini, Zii Jia menjadi pemain perseorangan ketiga dari Malaysia yang memenangi pingat di Sukan Olimpik.
Pemain pertama ialah Datuk Rashid Sidek yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Atlanta 1996, diikuti oleh Datuk Lee Chong Wei yang memenangi pingat perak pada edisi Beijing 2008, London 2012, dan Rio de Janeiro 2016.
Tidak dapat menahan sebak, pemain kebanggaan kita itu menitiskan air mata apabila meluahkan tentang tekanan yang dirasai di media sosial dan pihak media terhadap dirinya.
“Saya bangun setiap pagi dengan melihat bermacam berita mengenai diri saya.
“Saya tertanya-tanya, adakah apa yang saya lakukan ini satu kesalahan. Saya cuma bangun setiap pagi untuk menjalani latihan,” ungkap pemain itu menerusi temu bual yang dikongsikan oleh Sinar.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga Malaysia memberikan dukungan kepadanya dan meluahkan rasa bangga atas pencapaian Zii Jia.
Zii Jia telah memberikan segalanya demi Malaysia walaupun terpaksa menerima pelbagai kritikan dari luar gelanggang.
Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Lee Zii Jia atas segala usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan.
Kejayaan yang diraih oleh beliau bukan sahaja membanggakan dirinya sendiri, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya.
Tahniah sekali lagi atas kejayaan yang cemerlang ini, Lee Zii Jia.
BACA: FIB Kenakan Hukuman Terhadap KL City FC
BACA: SSPA: Penjawat Awam Boleh Kira Kadar Gaji Baharu Minggu Depan
Sumber: Sinar Harian, Sinar