Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kasih sayang seorang murid terhadap gurunya kadangkala dizahirkan dengan cara yang paling sederhana, namun cukup meninggalkan kesan.
Itulah yang berlaku apabila seorang kanak-kanak sanggup membawa sebiji durian di dalam beg sekolah untuk dihadiahkan kepada guru kesayangannya pada hari terakhir bertugas di sekolah berkenaan.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @nrslyaaa, yang memuat naik beberapa hantaran mengenai tindakan anaknya sehingga meraih perhatian ramai warga maya.
Menurutnya, anaknya membuat kejutan apabila membawa durian ke sekolah tanpa pengetahuannya sebagai hadiah buat guru yang bakal berpindah ke sekolah lain.
"Cikgu anak bagitahu dia 'surprise'kan cikgu dia dengan ni. Satu kelas tau bau durian. By the way, hari ini hari terakhir cikgu dekat sekolah sebab cikgu kena tukar ke sekolah lain," katanya menerusi satu hantaran.
Dalam hantaran lain, wanita itu berkata pada awalnya dia meminta anaknya meninggalkan durian tersebut di rumah kerana bimbang baunya mengganggu orang lain.
Bagaimanapun, jelasnya, anaknya tetap berkeras mahu membawa buah itu kerana mahu menghadiahkannya kepada guru yang sangat disayanginya.
"Dia memang sayangkan cikgu ni. Dulu dia jarang pergi sekolah sebab tak sihat dan selalu cakap cikgu garang. Tapi sejak cikgu pujuk dia, sekarang dia dah rajin ke sekolah. Tak sangka pula dia nak bagi durian dekat cikgu.
"Durian ni dia letak sendiri dalam beg. Mama dah suruh tinggal dekat rumah, tapi dia tetap nak bawa walaupun dia sendiri tak suka makan durian dan tak tahan bau durian. Mungkin dia nak cikgu tu ingat dekat dia," ujarnya.
Menurut wanita itu lagi, idea menghadiahkan durian tersebut tercetus selepas datuk kanak-kanak berkenaan membeli buah itu pada malam sebelumnya.
Katanya, ketika ditanya oleh guru mengenai makanan yang ingin dibawa ke sekolah pada keesokan hari, anaknya secara spontan menjawab mahu membawa durian.
"Pagi tadi hantar anak sekolah, lepas tu cikgu tanya esok nak bawa kuih apa. Anak jawab nak bawa buah durian. Kebetulan malam tadi atuk dia beli durian. Lepas tu dia terus cakap, 'Belikan durian untuk cikgu ke?' Tengok-tengok dia dah letak durian dalam beg nak bagi dekat cikgu," katanya lagi.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya tersentuh melihat keikhlasan seorang murid menghargai jasa gurunya.
Seorang pengguna, @maziah.othman.773, berkata pengalaman itu mengingatkannya kepada anaknya yang pernah melakukan perkara sama ketika di bangku sekolah rendah.
"Teringat anak saya masa darjah dua bawa tiga biji durian dalam beg nak bagi cikgu. Sampai sekarang bila musim durian, cikgu dia masih teringat dekat anak saya. Sekarang anak dah 30 tahun, cikgu dah 70 tahun, tapi kami masih berhubung," katanya.
Seorang lagi pengguna, @hannah_hamdar, berpendapat tindakan kanak-kanak itu menunjukkan dia benar-benar menghargai gurunya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan