Bagaimana Mata Sukan Terjun Dikira? Ini Caranya
Sukan terjun merupakan antara acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris 2024 dan menjadi tumpuan rakyat Malaysia.
Ia selepas negara turut menghantar dua wakil untuk bertanding di Paris, iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises.
Malah, sukan terjun juga menjadi penyumbang utama kepada pingat-pingat yang pernah dimenangi Malaysia di edisi-edisi Sukan Olimpik sebelum ini.
Begitupun, masih ramai sebenarnya belum faham bagaimanakah pengiraan markah dibuat oleh juri dalam sukan terjunan.
Jadi kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda semua cara pengiraan markah dibuat, masing-masing untuk acara terjun individu dan terjun seirama.
Ini cara mata dan markah sukan terjun dikira
Menurut portal NBC Olympics, terjunan yang dilakukan oleh para atlet akan dinilai oleh barisan juri yang memberi skor antara 1 hingga 10, termasuk margin separuh mata.
Bagi acara individu, terjunan akan dinilai oleh barisan tujuh orang juri, dengan setiap juri akan memberikan skor masing-masing.
Daripada tujuh markah juri tersebut, dua markah terendah dan tertinggi akan disingkirkan.
Lalu, tiga markah yang tinggal akan dicampur dan didarab dengan tahap kesukaran terjunan yang dibuat. Hasil pengiraan tersebut akan menjadi markah yang diperoleh oleh penerjun untuk terjunannya.
Berbeza untuk acara terjun seirama, jumlah juri yang terlibat adalah seramai sebelas orang. Setiap juri ini pula mempunyai tanggungjawab tersendiri.
Seperti yang kita sedia maklum, terjun seirama melibatkan dua penerjun yang terjun serentak. Enam juri akan menilai aspek execution terjunan iaitu masing-masing tiga juri menilai seorang penerjun.
Manakala baki lima juri pula menumpukan kepada aspek synchronization terjunan yang dibuat.
Daripada 11 markah yang diberikan oleh semua juri, hanya lima markah sahaja digunakan.
Lima markah tersebut adalah skor median execution penerjun pertama, skor median execution penerjun kedua dan tiga markah synchronization (markah tertinggi dan terendah disingkirkan).
Kemudian, kelima-lima markah tersebut dicampur dan didarabkan dengan 0.6. Akhir sekali, markah itu didarabkan pula dengan tahap kesukaran terjunan.
Apa yang dinilai oleh barisan juri dalam sukan terjun
Menurut portal NBC Olympics, untuk markah execution, barisan juri perlu meneliti empat bahagian dalam setiap terjunan iaitu:
- Kedudukan permulaan
- Take off
- Flight
- Entry
Setiap juri kemudian perlu memberikan markah tunggal yang mengambil kira empat perkara di atas.
Manakala bagi markah synchronization pula, juri menumpukan kepada enam aspek iaitu:
- Kedudukan permulaan
- Take off (termasuk persamaan ketinggian)
- Keseragaman pergerakan semasa fasa flight
- Sudut entry yang seragam
- Jarak perbandingan dari papan anjal semasa entry
- Fasa entry yang seragam
Dibawah pula adalah skala markah yang akan diberikan oleh juri:
- Sangat Baik: 8.5-9.5
- Baik: 7.0-8.0
- Memuaskan: 5.0-6.5
- Kurang memuaskan: 2.5-4.5
- Tidak memuaskan: 0.5-2.0
- Gagal sepenuhnya: 0
BACA: Poster Papar Menara Petronas Kembar Tiga, Agensi Iklan Mohon Maaf
Sumber: NBC Olympic