Boleh dikatakan kebanyakan televisyen di rumah pada masa kini sudah menggunakan teknologi TV pintar.
Ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi dan perkhidmatan penstriman secara dalam talian terus menerusi skrin TV.
Sudah tentulaah YouTube menjadi salah satu aplikasi yang sering digunakan.
Jika anda perasan, aplikasi YouTube di TV membolehkan lebih daripada satu akaun digunakan pada peranti yang sama.
Bagaimanapun, apabila TV dikongsi bersama ahli keluarga atau penghuni rumah lain, cadangan kandungan, langganan dan sejarah carian antara pengguna boleh bercampur.
Namun jangan risau, YouTube kini menyediakan satu ciri yang membolehkan pengguna melindungi akaun masing-masing menerusi fungsi kunci akaun.
Akaun YouTube Di TV Pintar
Ciri ini membolehkan anda menetapkan kod empat digit bagi memastikan akaun peribadi tidak boleh diakses sewenang-wenangnya oleh pengguna lain.
Berikut cara mengaktifkannya:
Buka aplikasi YouTube di TV dan akses akaun anda menerusi menu navigasi di sebelah kiri.
Pilih butang Settings yang terletak terus di bawah akaun anda.
Ikuti arahan pada skrin untuk mengaktifkan kunci akaun dan menetapkan kod empat digit.

Selepas ciri ini diaktifkan, cadangan kandungan, langganan dan sejarah carian anda akan kekal pada akaun sendiri dan tidak bercampur dengan akaun pengguna lain.
Selain itu, anda juga boleh membuka kunci akaun di TV menerusi aplikasi YouTube di telefon bimbit.
Apabila anda memilih akaun yang dikunci, buka aplikasi YouTube di telefon dan satu arahan untuk membuka kunci akaun akan dipaparkan.
Sekiranya notifikasi diaktifkan, pengguna turut akan menerima pemberitahuan bagi mempercepatkan proses membuka kunci tersebut.


