Siakap Keli

Malaysia Techlympics 2024 Membuka Tirai Dengan Penganjuran Peringkat Zon Timur

Malaysia Techlympics 2024 Membuka Tirai Dengan Penganjuran Peringkat Zon Timur

KUANTAN, 8 Ogos 2024 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari  ini menganjurkan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Timur bertempat di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang.

Majlis hari ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan  Inovasi Negeri Pahang wakil rasmi YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail,  Menteri Besar Pahang. 

Hampir 1,000 orang peserta dari tiga (3) negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan telah berkumpul pada 7 dan 8 Ogos 2024 di sini untuk bersaing di Peringkat  Zon Timur ini bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan November 2024 di Putrajaya.  

Penganjuran Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Timur ini merupakan pelaksanaan zon pertama sebelum pelaksanaan di peringkat Zon Utara, Zon Tengah,  Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak. 

malaysia techlympics 2024

Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia  dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak  tinggi.

Ini adalah tahun ketiga pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022. 

Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon. Malaysia Techlympics 2024 menyasarkan penyertaan  seramai 1 juta penyertaan daripada seluruh negara.

Dalam ucapan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri, Sains, Teknologi & Inovasi, matlamat dan objektif utama penganjuran Malaysia Techlympics adalah pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan  hands-on.

malaysia techlympics 2024

Ia juga tidak formal serta melalui kaedah pembelajaran eksperimental (experiential learning) dan pertandingan melibatkan pelajar dan belia di semua  peringkat umur, jantina dan bangsa. 

Dalam majlis yang sama, MOSTI turut melancarkan inisiatif baharu MOSTI iaitu Program Rehlah Sains yang mana merupakan program mini karnival Minggu Sains Negara yang akan dilaksanakan menyasarkan golongan pelajar di sekolah tahfiz di  negeri Pantai Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.  

Program yang bakal diadakan pada bulan Oktober dan November ini akan melibatkan 7 buah sekolah tahfiz.

Program ini juga merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memberikan pendedahan STI kepada pelajar tahfiz, memupuk minat mereka terhadap  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan melahirkan pelajar  berfikiran kreatif dan berinovasi.  

malaysia techlympics 2024

MOSTI komited untuk menggembleng tenaga dan usaha bersama Kementerian  Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan sasaran yang terlibat.

Ia khususnya kepada kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui  program Malaysia Techlympics dalam memperkasakan agenda STEM Negara. Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics dijemput untuk melayari laman web rasmi www.mytechlympics.com .

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.