Pemain Bola Sepak Bawa Senjata Tajam Ditahan Di Klang Semalam
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) — Pemain bola sepak amatur yang membawa senjata tajam ke dalam padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak Ahad lepas, telah ditahan polis di sebuah rumah di Klang dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada 6.30 petang oleh anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan.
Beliau berkata turut ditahan teman wanita suspek yang merupakan warganegara asing berusia 21 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku telah mengeluarkan senjata tajam berupa kerambit bagi mempertahankan diri ketika kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lelaki terbabit kini direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 manakala wanita itu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Isnin lepas, Mohamad Lazim memaklumkan pihaknya sedang mengesan seorang lelaki kerana mengeluarkan senjata tajam dipercayai kerambit ketika berlaku perselisihan faham semasa perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA di sini.
Terdapat juga gambar menunjukkan lelaki terbabit memegang senjata di kedua-dua belah tangannya yang tular menerusi media sosial.
BACA: Atlet Korea Utara Bertanding Di Olimpik Tak Diberi Telefon Samsung Z Flip6 – IOC
Sumber: Bernama