Berhenti Kerja Untuk Jadi “Badut”, Acik Amat Clown Syukur Pendapatan Kini Cukup ‘Lumayan’
Tidak dapat dinafikan bahawa seiring kemajuan zaman, kerjaya dalam sektor korporat telah menjadi simbol kejayaan dan kestabilan di mata ribuan manusia.
Gambaran figura profesional yang tampil kemas dengan sut elegan dan beg bimbit mewah sering kali terukir dalam fikiran masyarakat sebagai definisi sebenar ‘orang yang berjaya’.
Namun, tanpa kita sedari, kita sebenarnya mengabaikan hakikat bahawa setiap pekerjaan, tidak kira sekecil mana atau tidak popular sekalipun, mempunyai ‘keajaiban’ tersendiri dalam kehidupan seseorang.
Siapa sangka, kerjaya sebagai badut mampu memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada seorang pemuda ini.

Muhammad Ar-Rabi Ab Ghani, 37, yang lebih dikenali sebagai Acik Amat Clown, berkongsi kisah perjalanan kerjaya badut yang mengubah nasib hidupnya.
“Tahap pendidikan saya bukanlah tinggi. Saya hanya mencapai tahap PMR sahaja, itupun ketika berusia 17 tahun.
“Umur 17 tahun sepatutnya menduduki SPM. Berbeza dengan saya sebagai pelajar return ketika itu, saya menduduki PMR. Setakat itu sajalah pelajaran saya,” katanya.
Sebelum terjebak dalam kerjaya sebagai badut, Acik Amat Clown memulakan kariernya sebagai penghantar barang (dispatch).
Namun, ‘darah muda’ tidak menghentikannya untuk meneroka pekerjaan lain.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjadi penghantar makanan (rider) dan pemandu e-hailing, serta melakukan pelbagai kerja kontrak.

Pada ketika itu jugalah, disebabkan pengaruh rakan, beliau mula menceburi dunia hiburan sebagai badut secara sambilan pada tahun 2008.
Awalnya hanya bekerja pada hujung minggu, beliau akhirnya mendalami kerjaya ini secara serius dan berusaha menjadikannya sebagai kerjaya tetap.
“Allah uji semua orang. Bila terdesak, Allah selalu ada jalan,” kata Acik Amat Clown.
Tekanan kewangan dan keadaan yang mendesak mendorongnya untuk mengambil langkah berani dengan memulakan perniagaan sendiri.
Tanpa berfikir panjang, dia membeli segala keperluan dan memulakan bisnes badut bersama isterinya.
Menurut Acik Amat Clown, memulakan kerjaya sebagai badut memerlukan lebih daripada sekadar solekan tebal, memakai hidung merah dan berbekal ‘lawak’.
Beliau menghabiskan masa untuk belajar membuat belon dan kostum dari kawan-kawan dan melalui tutorial.
Dalam pada itu, isterinya merupakan tulang belakang yang setia bersamanya. Dengan sokongan isterinya, beliau dapat menjimatkan kos dengan pakaian yang dijahit sendiri, memastikan kualiti dan keselesaan pakaian badutnya.

Bukan itu sahaja, pernah menuntut dalam jurusan seni dan reka bentuk, isterinya jugalah yang selama ini membantu dalam membuat lukisan mukanya (face painting).
Menyifatkan kerjaya badut sebagai ‘rezeki yang tak salah alamat’, Acik Amat Clown tidak pernah menyangka bahawa kehidupannya sekeluarga kini bertambah baik.
“Mungkin agak berlebihan jika saya sebutkan pendapatan sebagai badut kini. Namun, syukur kepada Allah, pendapatan sekarang lebih baik berbanding sebelumnya.
“Alhamdulillah, berkat doa orang tua, saya telahpun memiliki rumah sendiri dan keluarga kecil saya diberikan peluang untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci,” katanya ringkas.

Tiada henti dari bibirnya melafazkan kata syukur dan terima kasih kepada orang tua dan isterinya, sebagai penghargaan atas doa dan sokongan yang tidak putus-putus selama ini.
Acik Amat Clown menyifatkan perjalanan kerjaya badutnya sebagai sesuatu yang luar biasa.
Beliau tidak hanya berjaya membeli rumah dan membawa keluarga menunaikan umrah, tetapi juga mendapat peluang untuk bekerja dengan selebriti.
“Saya pernah menerima jemputan dalam sebuah event di wad kanser kanak-kanak yang dihadiri selebriti terkenal, Neelofa. Saya juga pernah dijemput dalam event lain melibatkan artis tempatan,” katanya.
Tambahnya, setiap acara yang dihadiri meninggalkan kenangan dan kesan mendalam terhadap dirinya.
“Kita tak tahu bentuk rezeki yang Allah hadiahkan. Kalau rezeki itu kita punya, ianya takkan tertukar,” katanya dengan penuh syukur.
BACA: Terkilan Gagal Bawa Pulang Pingat, Shah Firdaus Tidak Dapat Menahan Sebak
Namun, perjalanan ini tidak tanpa cabaran. Dalam dunia hiburan, terutama sebagai badut, Acik Amat Clown menghadapi pelbagai cabaran.
Menyembunyikan masalah peribadi di sebalik topeng senyuman dan memastikan profesionalisme di setiap acara adalah satu daripada cabaran terbesar beliau.
“Secara peribadi, saya bukanlah seorang ‘pelawak’, tetapi disebabkan pekerjaan sebagai badut, saya perlu sentiasa ‘on character’ semasa bekerja.
“Cabaran terbesar adalah berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku walaupun terdapat masalah di sebalik senyuman.
“Setiap orang pasti mempunyai masalah, tetapi dalam konteks pekerjaan, kita perlu bertindak secara profesional. Jangan membawa masalah peribadi ke tempat kerja,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan pula, Acik Amat Clown bercita-cita untuk terus meningkatkan kualiti dan penawaran perkhidmatannya, serta menarik lebih ramai pelanggan dengan pakej yang lebih menarik.
BACA: “Shah Firdaus Akan Teruskan Legasi Saya,” Azizulhasni Awang Umum Bersara
Dalam pada itu, beliau menasihati anak-anak muda agar tidak hanya memilih kerja berdasarkan wang, tetapi harus ikhlas dan berusaha tanpa mempedulikan kata-kata negatif orang lain.
“Jika sesuatu dilakukan semata-mata untuk mencari duit, itu mungkin tidak memberi makna.
“Namun, jika niat mencari rezeki adalah ikhlas supaya diberkati Allah, insya-Allah, hasilnya akan baik.
“Walaupun tidak banyak, kita tetap bersyukur dan akan merasa cukup.
“Setiap kejayaan pasti melalui banyak proses. Hanya kita yang tahu cabarannya. Teruskan usaha dan jangan berputus asa,” katanya.
Keghairahan mengejar status dan kekayaan telah membuat ramai terlepas pandang akan ‘keindahan’ dan kepentingan kerjaya lain yang tidak kurang hebatnya.
Penghormatan dan pengiktirafan yang selayaknya sering kali tidak diberikan kepada mereka yang berkhidmat di luar dunia korporat ini.
Namun, persoalannya, dalam dunia yang serba mencabar ini, adakah mentaliti sebegitu perlu terus ‘ditanak’?
Semoga kisah ini membuka mata semua untuk mengiktiraf dan menghargai setiap bidang kerjaya dengan adil.
Dengan cara ini, setiap individu akan merasa dihargai dan termotivasi untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua pekerjaan yang mereka ceburi.