Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bot Terbalik: Mangsa Terselamat Kongsi Lebih Dua Jam Terapung Di Samping Mayat Rakan

Hannah
dua jam terapung di samping mayat rakan
Sumber: Sinar Harian

Bot Terbalik: Mangsa Terselamat Kongsi Lebih Dua Jam Terapung Di Samping Mayat Rakan

“Kami terpaksa berpaut antara satu sama lain selama lebih dua jam, waktu tu rasa macam dah tak ada harapan untuk hidup,” luahan seorang mangsa terselamat dalam tragedi bot karam, Ain Farhana Muhamad Husaini.

Ain Farhana, 30, seorang pembantu klinik, menceritakan bahawa semasa kejadian, dia sedang tidur dalam kabin dan hanya tersedar apabila bot yang dinaikinya terbalik akibat dilanggar.

“Waktu bot terbalik itu saya berusaha untuk berenang dan timbul ke permukaan air. Waktu itu saya sempat mengucap tiga kali sebelum berjaya keluar dari bawah bot yang hampir karam.

“Dalam keadaan masih terkejut, saya baru sedar saya terapung agak jauh daripada yang lain. Ketika berenang untuk berpaut pada tong ikan, saya ternampak rakan saya, Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, terapung.

“Saya bersama seorang lagi peserta trip yang terselamat segera memaut Siti Zamimah untuk ke tempat lebih selamat. Waktu tu saya perasan dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman, pada Isnin.

Menurut Ain Farhana, dia bersama ibunya, Haziyah Harun, 64, dan adiknya, Aina Husna, 25, serta Siti Zamimah, menyertai rombongan mencandat sotong bersama enam lagi individu pada Sabtu lalu.

“Kami bergerak dari Rawang jam 8 pagi pada Sabtu lepas dan sampai di Kemaman jam 1.30 tengah hari. Waktu tu kami naik bot untuk keluar mencandat dari Bukit Kuang, Kemaman jam 5.30 petang hari yang sama.

“Kami sepatutnya pulang ke darat jam 11.30 pagi semalam (Ahad) malangnya bot yang kami naik dilanggar sekitar jam 6.20 pagi. Kami tinggal sehelai sepinggang kerana tiada satu barang pun yang berjaya diselamatkan,” ujarnya.

Sehingga kini, Aina Husna dan seorang lagi individu, Yusof Kassam, 66, masih belum ditemukan.

BACA: Seorang Lemas, Tiga Hilang Dalam Kejadian Bot Terbalik Di Kemaman

Sebelum ini, media melaporkan bahawa sebuah bot yang dinaiki sembilan penumpang, termasuk dua tekong, telah karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, pada Ahad.

Bot tersebut, yang dinaiki oleh pemancing dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor, dipercayai dilanggar oleh sebuah tongkang pada jarak tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

Kejadian itu disedari oleh sekumpulan nelayan yang menemui lima daripada mereka, termasuk seorang mangsa yang telah meninggal dunia, terapung sebelum dibawa ke daratan sekitar jam 8 pagi.

Mayat seorang lagi mangsa, iaitu tekong bot, Shahril Ismail, 50, dijumpai sekitar jam 1 tengah hari pada Ahad, kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.

Sehingga kini, lima mangsa telah diselamatkan, dua disahkan meninggal dunia, dan dua lagi masih hilang.

BACA: Bot Terbalik Di Kemaman: Seorang Lagi Mangsa Ditemukan

BACA: Kronologi Kes Bunuh Cikgu Istiqomah

Sumber: Sinar Harian