Dilapor Hilang Sudah Lapan Bulan, Polis Sahkan Mayat Tanpa Kepala Milik Cikgu Istiqomah
Seorang guru wanita yang dilaporkan hilang pada akhir tahun lalu di sebuah pasar raya di Johor Bahru, Johor, telah disahkan meninggal dunia dan dipercayai dibunuh oleh bekas teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, mengesahkan bahawa mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu adalah milik Istiqomah Ahmad Rozi, berusia 32 tahun.
“Polis telah menjalankan siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos oleh Bahagian Data Bank/ DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah ke atas ibu kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 di Johor mendapati ia sepadan.
“Risikan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah Johor telah berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan mengenai seorang wanita yang dibunuh secara kejam, di mana sebahagian badannya dijumpai disumbatkan ke dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember lalu.
Lebih menyedihkan, bahagian kepala, tangan dan kaki mayat yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 30-an tidak ditemui di lokasi dan dipercayai telah dipotong.
BACA: Dipercayai Dibunuh, Mayat Nur Farah Kartini Ditemui Di Kuala Kubu Baharu
Mengulas lanjut, Ashari menambah bahawa siasatan terhadap dua individu yang ditahan membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa, termasuk tulang jari dan kepala, di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayatnya dijumpai.
“Mangsa ini mempunyai tiga orang anak dan dipercayai tangkapan lelaki ini memang kenal dengan mangsa manakala isterinya tidak mengenali mangsa.
“Kedua-dua individu yang ditahan telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan,” jelasnya.
Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Norehan Omar di talian 010-4064003,” tambahnya.
BACA: Kes Bunuh Nur Farah Kartini: Anggota Polis Akan Didakwa Hari Ini
BACA: Motosikal & Rangka Manusia Ditemui, Disyaki Milik Pelajar Hilang Sebulan Lalu
Sumber: Astro Awani