Termenung & Membisu, Anak-Anak Cikgu Istiqomah Terkesan Dengan Berita Kematian Ibu
Suami kepada Allahyarham Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, Mohd Yusoff Mokhtar, 35, meluahkan rasa sebak dan pilu apabila memikirkan nasib tiga anaknya yang merindui ibu mereka, terutama anak sulung yang sering ‘curi-curi’ melihat gambar arwah.
Mohd Yusoff berkata, ketika ini, fokus utama adalah untuk menjaga emosi anak-anaknya, Naura Auni, 9, Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4, yang terkesan selepas menonton berita kematian ibu mereka di televisyen.
Menurut Mohd Yusoff, walaupun sukar, sebagai seorang ayah, dia telah menjelaskan apa yang berlaku kepada anak-anaknya.
“Anak sulung terutamanya suka curi-curi tengok gambar arwah kerana dia rindu.
“Tapi bila perasan saya melihat tindakannya itu, dia akan sembunyikan gambar kerana tidak mahu saya bersedih,” katanya sebak.
Tambah Mohd Yusoff, ada ketika ketiga-tiga anaknya itu akan termenung, berdiam diri dan membisu mungkin terlalu rindukan arwah.
“Kalau menangis mereka akan panggil mama iaitu panggilan kepada arwah namun saya perlu sembunyikan keperitan hati ini untuk memberi kekuatan kepada anak-anak,” katanya lagi.
BACA: Dilapor Hilang Sudah Lapan Bulan, Polis Sahkan Mayat Tanpa Kepala Milik Cikgu Istiqomah
Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut merayu kepada orang ramai agar tidak mengaitkan lelaki yang ditahan sebagai bekas kekasih isterinya. Ini kerana mereka hanya berkawan di maktab perguruan sebelum ini.
“Janganlah ditambah kesedihan saya tapi doakanlah saya dan tiga anak-anak yang masih kecil terus kuat mendepani pembunuhan kejam ini
“Saya juga berharap dapat segera menuntut jenazah arwah untuk dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan selepas lapan bulan kematiannya tidak bernisan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang guru wanita yang dilaporkan hilang sejak lapan bulan lalu akhirnya ditemui setelah polis mengesahkan bahawa mayat yang ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, memaklumkan bahawa ujian DNA mengesahkan identiti mayat tersebut adalah guru Sekolah Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor, yang hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Menurutnya, satu risikan dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.
Hasil risikan tersebut telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.
BACA: Kronologi Kes Bunuh Cikgu Istiqomah
BACA: Keluarga Mahukan Keadilan, Hukuman Setimpal Terhadap Pembunuh Istiqomah
Sumber: Sinar Harian