Wanita Kongsi ‘Rahsia’ Anak Berjaya, Kini Kerja Dengan Gaji Cukup Lumayan
Dalam masyarakat yang sering mengagungkan pencapaian akademik, ibu bapa mungkin berasa cemas atau kecewa jika anak-anak mereka tidak menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah.
Namun, adalah penting untuk diingat bahawa kecemerlangan bukanlah semata-mata ditentukan oleh keputusan peperiksaan.
Terdapat banyak laluan lain yang boleh membawa kepada kejayaan, salah satunya adalah melalui bidang kemahiran.
Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan individu memandang ‘sebelah mata’ bidang kemahiran, lebih-lebih lagi apabila membincangkan soal masa depan anak-anak.
Bagaimanapun, dalam dunia yang serba mencabar ini, adakah mentaliti sebegitu perlu terus ‘ditanak’?
BACA: Pernah ‘Jatuh Terduduk’, Lelaki Kongsi Nasihat Arwah Ibu Tentang Rezeki Buat Ramai Sebak
Perkongsian seorang pengguna Facebook, Zeeda Aziz, menarik perhatian ibu bapa apabila berkongsi ‘rahsia’ kejayaan anaknya yang kini telahpun bekerja dan menghasilkan pendapatan yang cukup lumayan.
Menurut Zeeda, anak lelakinya, Danish, tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, Danish memiliki dua Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang jahitan.
Dengan kelayakan tersebut, Danish berjaya mendapat pekerjaan sebagai Fashion Advisor di sebuah butik mewah di Selangor, hanya selepas menghadiri satu temu duga sahaja.
Katanya, kini Danish mampu hidup berdikari dengan gaji yang cukup baik.
Hal ini membuktikan bahawa tidak semua anak cenderung kepada bidang akademik.
Dalam keluarga yang sama, dua daripada empat anak mungkin lebih berminat dalam akademik, manakala dua lagi lebih berminat dalam bidang kemahiran.
Danish, yang dahulunya seorang pelajar sekolah sains berasrama penuh, akhirnya beralih arah selepas prestasi akademiknya menurun, terutama semasa tempoh PKP.
Setelah mendapati minat Danish lebih kepada bidang kemahiran, keluarganya memutuskan untuk menempatkan Danish di Kolej KEDA di Sik, Kedah, di mana Danish mula belajar asas jahitan pakaian wanita.
Di Kolej KEDA, Danish menunjukkan minat dan kesungguhan dalam bidang yang diceburinya, dan seterusnya menyambung pengajian dalam bidang jahitan pakaian lelaki di Giatmara Kuala Lumpur.
Di sini, Danish dikelilingi oleh peserta dari pelbagai latar belakang dan usia, yang menambah pengalaman berharga sepanjang pengajiannya.
Hasilnya, Danish berjaya menamatkan kursus dalam tempoh 6 bulan dan mendapat pekerjaan hanya dua bulan kemudian.
BACA: Berhenti Kerja Untuk Jadi “Badut”, Acik Amat Clown Syukur Pendapatan Kini Cukup ‘Lumayan’
Ini menunjukkan bahawa graduan dalam bidang kemahiran biasanya lebih cepat mendapat pekerjaan berbanding mereka yang hanya fokus pada akademik.
Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa jika anak mereka tidak cemerlang dalam akademik, ini bukanlah titik akhir kepada peluang kejayaan mereka.
Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk berbincang dengan anak-anak tentang minat dan kecenderungan mereka.
Jika anak-anak tidak pasti tentang minat mereka, ibu bapa boleh membantu mereka mencari jalan yang sesuai, termasuk dengan memberi dorongan atau ‘paksaan’ yang positif.
Terdapat banyak kisah kejayaan pelajar yang pada mulanya tidak menunjukkan minat belajar, namun akhirnya berjaya setelah diberikan bimbingan yang betul.
Kesimpulannya, setiap anak mempunyai potensi dan fungsi tersendiri dalam masyarakat.
“Janganlah mengeluh jika anak-anak tidak menjadi seperti yang kita inginkan.
“Sebaiknya, fahami terlebih dahulu apa kekuatan dan kecenderungan mereka,” ujar Zeeda Aziz.
BACA: Macam Piranha, Netizen ‘Seriau’ Tengok Anak Ikan Haruan Makan Isi Ayam ‘Sekelip Mata’
Sumber: Zeeda Aziz via Facebook