Pernah ‘Jatuh Terduduk’, Lelaki Kongsi Nasihat Arwah Ibu Tentang Rezeki Buat Ramai Sebak
Ibu adalah cinta pertama yang tertanam dalam hati setiap anak, seperti cahaya mentari yang menyinari hidup anak-anak sejak awal.
Kasih sayang seorang ibu ibarat permata bernilai yang tiada tandingan, sentiasa hadir dalam setiap langkah anak-anak.
Tapi, pernahkah anak-anak terfikir jika suatu hari nanti, momen-momen bahagia itu mungkin akan ‘ternoktah’ dan lenyap selamanya?
Barangkali bukan atas kehendak kita, tetapi atas ketentuan-Nya.
Namun, walau permata dunia akhirat itu pergi, nasihat berharganya akan terus menjadi pegangan hidup anak-anak hingga hembusan nafas terakhir.
BACA: Pancing Zii Jia Nasi Lemak & Teh ‘O’ Ais, Hairul Azreen Dapat Hadiah Bulu Tangkis & Raket
Coretan seorang pengguna Facebook yang mesra dikenali sebagai Coach Bahar, menarik perhatian ramai apabila berkongsi nasihat daripada arwah ibu tercinta berkaitan ‘rezeki’.
Setelah berkahwin, Coach Bahar memutuskan untuk menjaga ibunya dengan tinggal bersama di kampung, meninggalkan Shah Alam serta perniagaannya di sana.
Menurutnya, keputusan untuk kembali ke kampung selepas berkahwin bukanlah mudah.
“Apa yang kamu nak kerja di kampung ini? Jangan buat begitu,” kata ibunya suatu ketika dulu.
Namun, dia cuba untuk meyakinkan ibunya bahawa rezeki boleh datang dari mana-mana sahaja.
Walaupun pada masa itu dia sendiri tidak pasti apa yang akan dilakukan, keputusannya adalah muktamad.
“Saya tinggal di kampung dan berulang-alik sejauh lebih 150 km sehari dari Muar ke Parit Raja.
“Kemudian, jaraknya bertambah menjadi 300 km setiap pagi dari Muar ke Nusajaya.
“Namun, setiap hari saya mesti pulang ke rumah untuk memastikan ibu di bilik, sama ada sedang mengaji Al-Quran atau sudah tertidur,” ujarnya.
Katanya, keadaan saat itu sangat sukar. Dia tiada apa-apa dan terasa ‘kosong’ sehingga ‘jatuh terduduk’ kerana gagal dalam perniagaan.
Ibunya adalah insan yang memberi nasihat tanpa jemu, dan salah satu nasihat yang terkesan di hati adalah berkaitan rezeki.
Berikut adalah nasihat yang dikongsikan, yang mungkin membantu kita untuk lebih kuat menghadapi peritnya hidup dan sentiasa percaya kepada rezeki Allah SWT.
Rezeki yang ditetapkan
“Mak pernah cakap, setiap makhluk yang bernyawa pasti ada rezekinya. Setiap orang ada rezekinya tanpa perlu mengambil rezeki orang lain. Bayangkan, walaupun mak sakit, ketika masih hidup, ada orang yang menyuapkan mak makanan,” kata Coach Bahar mengenang ucapan ibunya.
Kata-kata ini benar-benar ‘meresap’ di dalam lubuk hatinya, mengingatkan dirinya untuk tidak pernah risau tentang rezeki yang sudah ditentukan oleh Allah.
Rezeki yang digantungkan
Pada awalnya, Coach Bahar sendiri kurang faham apa maksud ibunya dengan ‘rezeki yang digantungkan’.
Namun, setelah menyemak tafsir Surah An-Najm: 39 yang maksudnya: “Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang diusahakannya”, dia mengerti mungkin itu yang cuba disampaikan ibunya.
Sabar dan syukur
“Mak pesan, dalam menghadapi halangan dan cabaran, kita perlu bersabar.
“Jika sukar untuk bersabar, bersyukurlah, kerana orang yang bersyukur akan dilipatgandakan rezekinya oleh Allah,” tulisnya dalam coretan itu.
Rezeki yang tidak disangka-sangka
Menurut Coach Bahar, ibunya berpesan bahawa kita tidak pernah tahu rezeki kita pada hari ini.
Selalunya, rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka, dalam pelbagai bentuk.
Contohnya, kita bertemu dengan orang yang baik, anak masuk universiti atau dapat menikmati makanan yang diberi orang.
Itu semua adalah rezeki.
Rezeki kerana istighfar dan selawat
“Mak pernah pesan, doa yang paling mustajab adalah ketika kita berdoa bersungguh-sungguh semasa hujan turun dan hati kita bergetar.
“Ketika segalanya diserahkan kepada kekuasaan Allah, maka Allah akan melipatgandakan harta dan rezeki kita,” katanya.
Rezeki kerana bernikah
Kata Coach Bahar, ketika dia bercadang untuk berkahwin pada usia 22 tahun, ibunya adalah orang yang paling menyokong keputusannya.
Ramai yang terkejut dan merasakan belum tiba masanya, namun kata-kata ibu menguatkan dirinya.
“Ada rezekinya,” kata Coach Bahar mengenang ucapan arwah ibu.
Ternyata benar, dalam masa tujuh bulan sahaja, segala persiapan perkahwinannya siap.
Dengan hanya menjual kuih raya, dia berjaya mengumpul RM70,000 bersih.
Rezeki kerana anak
Dikurniakan sembilan orang cahaya mata, Coach Bahar berkata bahawa arwah ibu adalah insan yang paling gembira.
“Ada rezeki anak-anak,” katanya lagi mengenang ucapan arwah ibu.
Ternyata, kata-kata ibunya terbukti kerana setiap kali anaknya lahir, ada perkara besar yang berlaku dalam hidupnya.
- Irfan: Aku mendapat pekerjaan sebagai pensyarah, malah dilantik menjadi ketua jabatan termuda.
- Syamilla: Aku berjaya menyambung pelajaran ke United Kingdom.
- Aina & Aifa: Kemenangan terbesar aku ialah dikurniakan anak kembar, itu pun satu rezeki besar.
- Alya: Aku pulang ke Malaysia untuk memulakan hidup baru. Selepas kembali dari United Kingdom, Alya lahir dan aku dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC).”
- Iman: Aku memulakan perniagaan hotel dan kopitiam.
- Aisyah: Perniagaan aku semakin maju dengan pelbagai syarikat di bawah naungan.
- Ikhwan: Aku bangkit semula setelah perniagaan lama jatuh dan bankrap.
- Iqbal: Aku diterima bekerja dan diberi penghormatan sehingga menjawat jawatan penting yang tidak pernah aku impikan. Malah, gaji setaraf JUSA pula.
Rezeki kerana bersedekah
Tambah Coach Bahar, ibunya selalu mengingatkan tentang kebaikan bersedekah.
“Kamu tolong orang lain, Allah bukakan hati orang lain untuk tolong ibu di kampung,” kata Coach Bahar mengenang ucapan arwah ibu.
Ucapan ibunya sekali lagi terbukti ketika dia berulang-alik dari universiti ke Muar ketika arwah ayahnya sakit.
Suatu malam, dia terlambat sampai ke stesen bas Pudu dan tiada bas ke universiti.
Dia menelefon ibunya, dan ibunya menyuruh dia untuk bersedekah.
Dengan duit yang ada, dia membeli makanan untuk diberikan kepada anak-anak gelandangan di kawasan stesen bas.
Tanpa diduga, dia bertemu seseorang yang kebetulan naik van ke Kajang dan dia dapat menumpang sekali.
https://www.facebook.com/Coach.bahar/posts/pfbid02cTBJXYhbbfsjVr9nyRXpStnuQWW14d5gLAYEFGMzR6UWEBrG4gB4K6r7aSTJouTQl?rdid=9w0cIJ3wD2yKdADv
Rezeki memang ada di mana-mana. Jangan pernah risau tentang rezeki.
Kami doakan sesiapa yang membaca dan berkongsi kisah ini akan dipermudah urusan dan dimurahkan rezeki.
Berkongsi sesuatu yang baik juga adalah rezeki, bukan?
Semoga bermanfaat.
BACA: Sebak Tengok Video Sheila Rusly Kongsi Bakal Menantu Peluk Agama Islam
BACA: Terkilan Gagal Bawa Pulang Pingat, Air Mata Azizulhasni Gugur Juga
Sumber: Coach Bahar via Facebook