Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selepas lebih seminggu menggunakannya, boleh dikatakan TWS (True Wireless Stereo) jenama ini mempunyai keunikannya tersendiri, membezakannya daripada jenama lain dalam hal teknologi yang digunakan.
Ini adalah fon telinga tanpa wayar (earbud wireless) daripada Creative Technology, sebuah jenama daripada Singapura yang sedang hangat dipasaran.
Fon telinga tanpa wayar, Creative Aurvana Ace 2 memberikan kelainan dengan pemacu teknologi berasaskan MEMS. Teknologi baru ini dikeluarkan oleh syarikat xMEMS, merupakan sebuah syarikat teknologi yang menghasilkan pembesar suara MEMS dengan kemasan teknologi silikon monolitik.
Mungkin sebagai pembaca sukar untuk anda percaya, namun sebagai pengguna, prestasi audio Aurvana Ace 2 memberikan kejituan dalam keseluruhan spektrum audio, daripada nada tinggi yang tepat sehingga bes padat dan trebel dinamik dengan pemacu dinamik 10mm.

Fon telinga tanpa wayar daripada Creative Technology ini turut hadir dengan silikon-penuh, keadaan-pepejal perintis, berupaya untuk menawarkan respons frekuensi yang lebih luas daripada 5 Hz hingga 40 KHz, bagi memastikan pengalaman audio yang imersif dan seakan hidup untuk muzik, filem dan panggilan sidang.
Secara jujurnya, daripada pelbagai pilihan fon telinga yang sedia ada, Aurvana Ace 2 menjadi pilihan setiap kali ingin mendengar senarai main Spotify. Bukan sahaja jelas, setiap hentakan bes membangkitkan mood ketika itu. Akustik dan persembahan vokal yang didendangkan amat-amat mengagumkan. Jelas kedengaran petikan gitar, vokal suara penyanyi yang mendayu-dayu seolah-olah sedang menyaksikan konsert one-on-one.
Lengkap dengan fungsi pembatalan hingar aktif hibrid, Aurvana Ace 2 menawarkan pelarasan masa sebenar berdasarkan keadaan persekitaran dan padanan fon telinga, boleh dikatakan ia berfungsi dengan baik walau tidak setanding yang lain.
Mod ambien juga sama, pengguna masih boleh mendengar persekitaran luar dan kedua-dua fungsi ini boleh dikawal melalui aplikasi Creative.

Dengan pengaktifan ANC, Aurvana Ace 2 mampu bertahan sehingga 6 jam percaj dan selongsongnya menampung 18 jam ketahanan bateri. Melalui pengalaman penggunaan, menyah-aktifkan ANC dapat memperpanjangkan bateri sehingga 7 jam. Sekitar 1 jam 20 minit diperlukan untuk mengisi fon telinga ini secara penuh.
Aplikasi Creative menunjukkan maklumat tahap bateri untuk setiap fon telinga serta melalui aplikasi ini, equalizer dan ambient boleh dilaraskan mengikut keselesaan penggunanya.

Walaupun selongsongnya diperbuat daripada plastik, tetapi ia cukup solid untuk kegunaan harian. Aurvana Ace 2 memiliki ketahanan IPX5 yang bermaksud fon telinga ini kalis peluh dan berfungsi dengan baik walaupun disaat hujan.

Kesimpulannya,
Mendengar muzik menggunakan Aurvana Ace 2 memberikan pengalaman yang sangat selesa dan mcnyenangkan. Paling penting tdak sakit telinga dan kualiti audio dengan teknologi MEMS ini sangat-sangat baik.
Prestasi frekuensi tinggi daripada xMEMS Cowell solid-state driver menonjol pada beberapa lagu tertentu. Vokal dan petikan gitar terdengar tajam dan ‘bersih’. Tidak hairanlah ramai yang berkongsi yang Aurvana Ace 2 ini memberikan rasa tepat dan jelas yang sebelum ini kita hanya boleh dapat dariapda fon kepala yang besar dan pastinya lebih mahal.