Siakap Keli
PN Pahang titah tengku hassanal
Gambar: BERNAMA

Ucapan Tan Sri Muhyiddin: PN Pahang Junjung Titah Tengku Hassanal

Ucapan Tan Sri Muhyiddin: PN Pahang Junjung Titah Tengku Hassanal

Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan sebulat suara menjunjung titah Kebawah Duli Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia berhubung ucapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di Nenggiri sempena PRK DUN Nenggiri yang menjadi tular baru-baru ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Ketua PN Negeri Pahang, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man melalui satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

“ADUN Perikatan Nasional Pahang menyokong penuh Titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

PN Pahang junjung titah Tengku Hassanal berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin

“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap Titah Tuanku,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Dalam pada itu, PN Pahang turut menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi mereka kepada Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang.

“Kami Ahli Dewan Negeri Pahang dari Perikatan Nasional menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menjalankan tugas Baginda sebagai Payung tempat kami semua bernaung,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Terdahulu, tular ucapan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan murka terhadap kenyataan bekas Tan Sri Muhyiddin berhubung pelantikan perdana menteri, lapor SK sebelum ini.

Titah baginda, bekas perdana menteri itu secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Sebagai bekas perdana menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kupada rakyat bahawa Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

“Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut,” titah Tengku Hassanal dalam satu kenyataan.

https://www.facebook.com/ustaztitm/posts/pfbid029D8VbEK6fSdZ65PKmccFu8Yj3RWXZbTMjUGCFP6K1ei3DjwBmcxACpAsPJjBJxbjl

Sumber: FB Tuan Ibrahim Tuan Man

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.