Ditauliahkan Sejak 1979, Ini Fakta Kapal KD Pendekar Milik TLDM
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan salah satu agensi yang terdapat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bertanggungjawab dalam menjaga perairan maritim negara.
Seperti yang diketahui, TLDM dilengkapi dengan pelbagai aset kapal yang digunakan sewaktu menjalankan operasi di laut.
Salah satu aset terkenal TLDM adalah Kapal Diraja (KD) yang terdiri daripada pelbagai kapal dan masing-masing mempunyai nama tersendiri antaranya, KD Pendekar.
Hari ini berlaku satu insiden yang berkait dengan kapal TLDM di mana KD Pendekar dilaporkan telah tenggelam sepenuhnya akibat dipercayai berlaku pelanggaran objek bawah air.
Pelanggaran tersebut membuatkan sebahagian kapal milik TLDM itu tenggelam selepas mengalami kebanjiran besar.
Pun begitu, tidak ramai yang tahu tentang fakta kapal tersebut. Sehubungan itu, mari kita kenali dan ketahui sejarah perkhidmatan KD Pendekar di bawah ini.
Berkhidmat lebih 45 tahun, ini sejarah KD Pendekar
Setiap aset ketenteraan milik TLDM mempunyai sejarahnya sejak kali pertama perkhidmatan sehinggalah hari terakhirnya, begitu juga KD Pendekar milik TLDM.
Menurut laman web Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS), KD Pendekar merupakan kapal perang jenis pembinasa laju.
Kapal ini telah dibina oleh Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden sebelum dilancarkan pada pada 11 November 1978.
Reka bentuk kapal KD Pendekar disesuaikan dengan keupayaan persenjataan dan ketangkasan.
Selepas ditauliahkan pada 27 Julai 1979, Kapal KD Pendekar diletakkan dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Kedua.
Kemudian, ia telah diserapkan ke dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama di bawah Flotila Ronda.
Fakta menarik KD Pendekar
KD Pendekar merupakan sebuah kapal yang berukuran 43.62 meter panjang dan lebar 7.1 meter dengan berat mencapai 2,600 tan.
Kapal dengan nombor pendaftaran 3513 ini ditauliahkan pada 27 Julai 1979 dan mampu berperasi selama tujuh hari.
Untuk pengetahuan, kapal ini dilengkapi dengan misil Exocet MM38 manakala meriam utama adalah Bofors 57mm dan Bofors 40mm/70.
Ia juga mampu menampung seramai 40 kru pada satu masa.
Untuk rekod, anggota pertama yang dipertanggungjawab untuk memerintah kapal ini adalah MEJ (L) Ng Chin Phing pada 27 Julai 1979.
Sehingga kini, Leftenan (Lt) Kdr Muhammad Izzat Emir Md Rahim yang bertanggungjawab terhadap kapal ini dan beliau merupakan anggota ke-37 yang dipertanggungjawab ke atas KD Pendekar. (Klik sini untuk senarai pegawai memerintah).
Pada tahun ini, KD Pendekar telah berkhidmat selama 45 tahun dan hari ini riwayatnya telah tamat. Untuk itu, terima kasih atas perkhidmatan anda KD Pendekar!
Sumber: PUSMAS TLDM