Motosikal Berkuasa Tinggi Rempuh Kereta, Dua Dilapor Maut
Sebuah motosikal berkuasa tinggi dipercayai merempuh kereta jenis Perodua Ativa, dua lelaki dilaporkan maut.
Insiden dilaporkan berlaku dekat Kampung Baru, Kuala Besut kira-kira jam 9.35 pagi, pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor, memaklumkan bahawa insiden terbabit mengakibatkan kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian.

Menurut beliau, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal jenis BMW S1200RT, Mohd Alfendi Che Mat Nor, 38, yang berasal dari Jerantut, Pahang.
Manakala, seorang lagi mangsa pula pemandu Perodua Viva, Aziz Deris, 59, dari Kuala Besut.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dikatakan dari arah Jertih menghala ke Kuala Besut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dikatakan telah membuat pusingan U sebelum dirempuh pada bahagian pemandu oleh motosikal yang datang dari arah belakang di laluan sama,” katanya pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan, manakala pemandu kereta cedera parah di bahagian kepala.
“Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan insiden diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sidiq Che Omar di talian 011-3170 2709.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
BACA: Motosikal Roda Tiga Jadi ‘Rumah’, Tempat Niaga Lelaki OKU
BACA: Insiden Tanah Jerlus: Operasi Hari Kedua Belum Temukan Petunjuk Baharu
BACA: Anak Setia Menanti Berita Ibu Hilang Dalam Insiden Tanah Jerlus
Sumber: Sinar Harian