Video Tular Orang Awam Selamatkan Mangsa Kereta Terbabas Jatuh Parit
Tindakan pantas orang awam dalam menyelamatkan mangsa terperangkap dalam sebuah kereta yang terbabas jatuh ke dalam parit besar telah menjadi tular di media sosial.
Menurut maklumat yang diperoleh daripada sumber awam, insiden tersebut berlaku apabila kereta berkenaan hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum jatuh ke dalam parit itu.
Insiden tersebut dipercayai berlaku semalam di negeri Perak, namun begitu, lokasi sebenar kejadian tidak dinyatakan oleh pihak yang melaporkan.
Berdasarkan video yang kini tular, kereta yang terbabas itu kelihatan sudah mula tenggelam di dalam parit.
Detik cemas itu dialami oleh dua orang wanita bersama empat orang kanak-kanak yang berada di dalam kereta tersebut apabila air mula memenuhi ruang dalaman kenderaan.
Dalam video berkenaan, seorang wanita yang duduk di bahagian kerusi hadapan dilihat memegang erat bayinya sebelum menyerahkan anak kecil tersebut kepada orang awam yang segera datang untuk membantu.
Selain itu, tiga orang kanak-kanak lain kelihatan cuba menyelamatkan diri dengan meraih tangan orang awam yang tanpa berlengah terjun ke dalam parit untuk memberikan bantuan.

Beberapa orang awam juga kelihatan berenang ke arah kereta yang hampir tenggelam sepenuhnya, berusaha untuk menyelamatkan kesemua mangsa.


Warga maya puji tindakan pantas dan berani orang awam yang membantu mangsa
Setelah video itu dikongsikan oleh pemilik akaun TikTok, @_mrkay_, ruangan komen dibanjiri dengan pujian daripada warga maya.
Rata-rata warga maya mengagumi tindakan pantas dan keberanian orang awam yang membantu menyelamatkan mangsa.
“Terima kasih, orang baik,”
“Terbaik rakyat Malaysia,”
“Sebak dengar anak dia terus menangis. Terima kasih, abang-abang semua. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas kebaikan kalian,”
“Semoga mereka yang membantu mendapat balasan terbaik di dunia dan akhirat,”
Dalam pada itu, tidak lupa juga, warga maya turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mangsa yang terlibat.
Semoga urusan mereka dipermudah.
BACA: Istiadat Persandingan Tengku Puteri Afzan, FD Idzham Berlangsung Penuh Tradisi
BACA: Video Dr Akmal Saleh Beri Pingat Datuk Kepada Ibu Bapa Undang Sebak Netizen
BACA: Ditauliahkan Sejak 1979, Ini Fakta Kapal KD Pendekar Milik TLDM
Sumber: Mr Kay, Info Semasa