Khabib Umum Datang Malaysia Bulan Depan
KUALA LUMPUR — Legenda seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov memaklumkan bakal bertemu dengan para peminat di Malaysia pada 29 September depan.
Menerusi satu hantaran Instagram miliknya, bekas juara lightweight UFC berusia 35 itu turut menyatakan akan berjumpa dengan peminatnya di Jakarta Indonesia pada 5 Oktober dalam Khabib The Path Of A Champion.
“Assalamualaikum kepada semua peminat saya di Indonesia dan Malaysia. Saya sangat teruja untuk mengumumkan, bahawa saya akan bertemu peminat saya dari Malaysia dan Indonesia tidak lama lagi.
“Jumpa anda di sana,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
https://www.instagram.com/p/C_M6Zu_RtHj/
Sementara itu, pengumuman bintang MMA itu turut mencuri perhatian ramai susulan rata-rata mereka menyatakan tidak sabar untuk berjumpa dengannya.
Antaranya yang meninggalkan komen di hantaran itu ialah jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo dan penyanyi dan pengacara Alif Satar.
“Jumpa awak nanti brother!” komen Jojo.
“Saya akan hantar lokasi, bang. Tidak sabar nak berjumpa dengan anda di Kuala Lumpur!” tulis Alif.
Pernah Datang Singapura Sebelum Ini
Sebelum ini pada tahun 2022, bekas juara lightweight UFC itu turut berkunjung ke Singapura pada hujung minggu bagi menonton perlumbaan F1 2022, lapor SK via Mothership.
Beliau dilihat melawat kawasan Marina Bay, menurut gambar yang dimuat naik di Instagramnya.
Gambar Khabib yang berpakaian t-shirt dan berseluar pendek di hadapan Marina Bay Sands bersama rakan seni bela diri campuran Rusia, Shamil Zavurov telah mendapat lebih daripada 500,000 tanda suka di Instagram.
Khabib menggunakan bahasa Rusia pada kapsyen gambar itu yang berbunyi “Akkuratno” dan membawa maksud kepada bentuk kapal dan tersusun rapi
Siapa Khabib?

Khabib berasal daripada Republik Dagestan Rusia dan merupakan orang Islam pertama yang memenangi gelaran UFC.
Dia bersaing dalam kategori ‘lightweight’ dan kekal tidak pernah kalah sepanjang berada kerjayanya dalam kategori itu. Dia juga mempunyai rekod 29-0 dalam kejohanan UFC itu.
Beliau adalah Juara Lightweight UFC yang paling lama bertahan, setelah memegang gelaran itu sejak April 2018 hinggalah Mac 2021.
Sumber: Instagram Khabib Nurmagomedov