Utama

Berita

Trivia

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Trivia

Sukan

Berita

Berita

Berita

50 Warga Kemboja Peluk Islam Dipimpin Dr Zul
Seramai 50 warga Kemboja telah melafazkan syahadah yang dipimpin sendiri oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dałam satu Majlis Pengislamann di Kampung Phum Thmey.
Menerusi satu hantaran di platform X, majlis tersebut diusahakan oleh Ustaz Zahry Ismael dan dilakukan di Sekolah Wedo.
Dalam klip itu memaparkan warga tempatan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan melafazkan kalimah Syahadah sambil mengangkat jari telunjuk kanan ke atas sebagai simbol ‘Allah SWT yang satu’
Dr Zul dalam masa yang sama turut mengucapkan terima kasih rakyat Malaysia yang menyumbang melalui kempen Muslim Care Malaysia Society.
“Setiap sen yang disumbangkan, membawa sinar harapan kepada perkembangan Islam di Kemboja,” tulisnya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan akan ke Phnom Penh, Kemboja selama dua hari dan berlepas pada petang 31 Ogos bagi mengikuti program Muslim Care Malaysia Society di Tboung Khmum.
Difahamkan, kempen itu bertujuan untuk mengagihkan bantuan kepada umat Islam di sana.
Dalam masa yang sama juga beliau akan meninjau beberapa projek sumbangan rakyat Malaysia menerusi kempen itu.
Beliau turut berkongsi aktiviti yang dijalankan di sana termasuklah mengadakan pertemuan rasmi dengan Sahibus Samahah Oknha Haji Kamaruddin Yusof, Mufti Kemboja, serta anggota Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Kemboja.
“Mufti Kemboja memuji usaha Imam Besar al-Azhar dan Pengerusi Majlis Hukama Muslimin, Fadhilatul Imam Al-Akbar Dr. Ahmed al-Tayeb, dalam menyebarkan kefahaman Islam yang sahih serta memupuk keharmonian antara agama di peringkat global.
“Saya menekankan pentingnya perpaduan umat Islam di Kemboja, serta hasrat untuk menjalin kerjasama strategik antara Al-Azhar, Majlis Hukama Muslimin dan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Kemboja bagi memperkasakan pendidikan dan pembangunan komuniti Islam di sini,” jelasnya lagi.
Selain itu, Dr Zul juga merasmikan Madrasah al-Farabi, sebuah sekolah yang didanai oleh rakyat Malaysia dan diselia oleh Muslim Care Malaysia Society.
“Kami turut mengagihkan lebih 300 pek makanan untuk keluarga Muslim di Kampung Jor Kaeng,” katanya.
Sumber: X @drzul_albakri